Terengganu umum bonus kepada penjawat awam selepas PRK Kemaman - Utusan Malaysia

Terengganu umum bonus kepada penjawat awam selepas PRK Kemaman

AHMAD Samsuri Mokhtar membentangkan Belanjawan 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kerajaan Terengganu akan mengumumkan bantuan khas bonus kepada kira-kira 14,000 penjawat awam di negeri itu selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu diambil kerana pihaknya mahu lebih berhati-hati bagi mengelakkan timbul sebarang isu pengumuman bonus itu dikaitkan rasuah pilihan raya.

Beliau berkata, jumlah bonus tersebut akan jauh lebih besar nilainya berbanding bonus yang diberi pada tahun lepas iaitu RM900.

“Insyaallah kita akan umum selepas selesainya PRK Parlimen Kemaman, jumlah naik sikit dari dulu.

“Cuma jumlahnya tak boleh sebut sekarang, kadar bonus akan diumumkan secara pentadbiran selepas ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai membentangkan Belanjawan 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, beliau secara peribadi juga mengambil langkah cermat sepanjang tempoh berkempen di PRK Parlimen Kemaman.

“Saya sendiri tak pergi berkempen ke tempat-tempat yang sensitif seperti masjid, kedai makan dan lain-lain lokasi yang boleh dikategorikan salah di bawah akta pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada persidangan DUN yang berlangsung selama empat hari akan menggangu kempen beliau di PRK Parlimen Kemaman pula, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana beliau masih turun berkempen pada sebelah petang dan malam.

“Saya akan ke sana (Kemaman) pada petang ini selepas selesai urusan di sidang DUN, sertai beberapa program kempen hingga malam dan balik semula (ke Kuala Terengganu).

“Esoknya sambung pula urusan di sidang DUN dan sebelah petang hingga ke malam akan terus berkempen di Kemaman, kempen akan tetap berjalan seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya