Terengganu FC sasar lima kedudukan teratas

Terengganu FC sasar lima kedudukan teratas

PEMAIN Terenganu FC menjalani latihan di Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam menjelang menentang Sabah dalam saingan Liga Super, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) belum mahu menyerah kalah bagi perebutan lima kedudukan terbaik Liga Super dengan menyasarkan kemenangan ke atas Sabah di laman sendiri, malam ini.

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berkata, TFC mampu menamatkan saingan di tempat kelima dengan syarat menang baki tiga perlawanan dengan jaringan besar.

Namun, jurulatih berasal Croatia itu mengakui masih mengharapkan keajaiban untuk Sri Pahang yang kini menghuni tempat kelima, keciciran mata bagi membolehkan TFC membaiki kedudukan.

Steinbruckner berkata, skuad kendaliannya melakukan persediaan rapi dalam tempoh aksi antarabangsa bagi menghadapi fasa genting musim ini meskipun sesi latihan terjejas bencana banjir.

“Secara matematik kami boleh menamatkan liga sekurang-kurangnya di kedudukan kelima, tetapi bukan tugas mudah kerana ketinggalan lapan mata kepada Sri Pahang berbaki tiga perlawanan.

“Apa pun tiada istilah sambil lewa atau mengibar bendera putih kerana kami mahu meraih kemenangan ke atas Sabah sebagai tonik menjelang perlawanan Piala AFC dan final Piala Malaysia.

“Persiapan agak terganggu ekoran padang latihan yang digenangi air namun kami membuat perubahan sewajarnya bagi memastikan barisan pemain dalam keadaan terbaik,” katanya di sini, semalam.

Berbaki tiga perlawanan, TFC memungut 36 mata di tempat keenam manakala Sri Pahang dengan 44 mata dan Sabah yang menjadi lawan malam ini, 45 mata di kedudukan keempat.

Menurut Steinbruckner, dia akan mempertaruhkan skuad terbaik berdepan Sang Badak dengan penjaring terbanyak, Ivan Mamut akan mengetuai jentera serangan TFC.

Bagaimanapun jurulatih itu sedikit gusar dengan tahap kecederaan ligamen lutut dialami tonggak pertahanan, Azam Azmi Murad, yang terpaksa diketepikan dari skuad utama.

“Kami masih memantau keadaannya dan belum pasti tempoh pemain itu akan direhatkan cuma kehilangannya akan dirasai kerana dia pemain utama di posisi berkenaan.

“Saya masih berharap pasukan diturunkan mampu memberi kemenangan sebelum ke Australia menghadapi aksi kumpulan Piala AFC menentang Central Coast Marriners pada Rabu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN