Terengganu beri fokus tenaga boleh baharu - Utusan Malaysia

Terengganu beri fokus tenaga boleh baharu

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) memalu gong sebagai simbolik perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC peringkat Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan memberi fokus kepada tenaga boleh baharu yang berpotensi menjadi pemangkin perubahan kepada negeri itu yang kini sedang giat melaksanakan program peralihan tenaga, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu dipacu oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan memanfaatkan tenaga hidro dan tenaga solar.

Menurutnya, ECERDC kini mengambil pendekatan bersepadu bagi memacu pertumbuhan pelaburan merentasi pelbagai sektor di Terengganu seiring visi untuk mencapai ekonomi mampan dengan mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak, gas dan petrokimia (OGP). 

“Ini termasuk mempergiatkan usaha menarik pelaburan bernilai tinggi merentasi semua sektor termasuk tenaga hidrogen dan tenaga boleh baharu, pemprosesan bahan kimia hijau dan bahan kimia khusus.

“Selain itu, fokus turut diberi kepada sektor pembuatan, pelancongan mampan dan pertanian untuk memanfaatkan kekayaan sumber asli negeri Terengganu dan sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC peringkat Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri turut berharap  pelabur akan mengambil peluang daripada pelbagai insentif yang ditawarkan kerajaan negeri melalui kemudahan yang disediakan termasuk melabur dalam sektor pertanian kerana ia akan membantu menangani isu keterjaminan makanan negara. 

“ECERDC telah menarik pelaburan swasta komited berjumlah lebih RM380 juta dalam sektor pertanian di Terengganu sejak 2018 sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, sebanyak RM28.1 bilion nilai pelaburan telah berjaya direalisasikan ke negeri Terengganu sejak penubuhannya pada tahun 2008.

 Tambahnya, lebih 43,000 peluang pekerjaan dan lebih 11,000 peluang keusahawanan telah berjaya diwujudkan kepada rakyat Terengganu setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya