PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan, Lawyers for Liberty menyeru kerajaan menarik balik pindaan kontroversi dalam undang-undang kewarganegaraan dengan segera tanpa syarat.
Pengarahnya, Zaid Malek mendakwa, tindakan Datuk Seri Saifuddin Nasution mempertahankan cadangan pindaan tersebut amat menghampakan tanpa menghiraukan nasib mereka yang tiada negara atau stateless selain cuba menggambarkan isu ini sebagai isu keselamatan.
Kata Zaid, Saifuddin Nasution juga mendakwa negara ini menghadapi masalah yang melibatkan pendatang asing dan lain-lain.
“Ini menunjukkan bahawa Menteri Dalam Negeri ini langsung tidak memahami atau mungkin lebih teruk dengan secara sengaja berniat jahat ingin memutar belit naratif berkenaan isu tiada negara ini.
“Kelompok tiada negara ini sebenarnya berhak mendapatkan kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Namun, masalah ini masih berterusan akibat kecuaian dan kegagalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan undang-undang dengan saksama.
“Mereka bukanlah pendatang asing dan lain-lain. Mereka adalah warganegara Malaysia yang tiada negara akibat tindakan dan peninggalan tidak sah oleh pihak kerajaan,” dakwanya dalam satu kenyataan.
Zaid berkata demikian merujuk kepada kenyataan dibuat Saifuddin di Parlimen semalam di mana beliau mempertahankan cadangan pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan peruntukan kewarganegaraan.
Pindaan-pindaan yang dicadangkan antara lainnya adalah untuk meminda Jadual Kedua, Bahagian II seksyen 1(e) yang memberikan kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada setiap individu tanpa kewarganegaraan yang dilahirkan di Malaysia dan juga Jadual Kedua, Bahagian III, seksyen 19(b) yang memberikan kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada kanak-kanak yang terbiar.
Mengulas lanjut, Zaid mendakwa, kebanyakan kes berkaitan isu tiada negara yang dirujuk kepada JPN tidak diselesaikan akibat tindakan jabatan itu yang gagal atau enggan memudahkan proses pengiktirafan kewarganegaraan mereka.
Malah, dakwanya, usaha untuk mendapatkan Borang E iaitub borang yang betul untuk proses sah taraf kewarganegaraan sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan hampir mustahil untuk diperoleh tanpa campur tangan peguam.
“JPN juga berulang kali enggan mematuhi undang-undang dalam kes kanak-kanak terbiar walaupun Mahkamah Persekutuan dalam kes CCH & Anor melawan Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian, Malaysia dengan jelas menyatakan bahawa kanak-kanak yang terbiar berhak mendapat kewarganegaraan mengikut Jadual Kedua, Bahagian III, seksyen 19(b).
“Tindakan JPN yang secara sengaja tidak mengendahkan peruntukan undang-undang yang jelas serta menyukarkan proses mendapatkan kewarganegaraan adalah punca utama penderitaan yang berpanjangan kepada mereka yang tiada negara.
“Ini menyebabkan mereka hilang peluang untuk mendapat pendidikan, akses kepada penjagaan perubatan dan peluang bekerja dan terpaksa hidup dalam pinggiran masyarakat atas status tiada negara mereka ini.
“Maka, amat menghairankan kenapa kerajaan tidak memilih untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi sebaliknya mengeruhkan lagi isu tiada negara ini dengan mencadangkan pindaan-pindaan tersebut.
“Pindaan-pindaan ini akan merampas jaminan Perlembagaan untuk kewarganegaraan daripada mereka yang tanpa kerakyatan, sekali gus mengasingkan mereka lagi di tanah air mereka sendiri,” dakwanya.-UTUSAN










