PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mendapatkan suntikan semangat sebelum menyertai Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia di Hangzhou, China pada 13-17 Disember depan apabila tercalon dalam Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Anugerah berprestij yang akan dilangsungkan serentak dengan kejohanan terakhir kalendar BWF itu menyaksikan Tang Jie dan Ee Wei tercalon dalam kategori Pemain/Pasangan Paling Meningkat Naik 2023 bersama-sama beregu lelaki Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dan beregu campuran China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Tahun ini, Tang Jie-Ee Wei bukan sahaja mengalami peningkatan mendadak bagi kedudukan ranking dunia, namun turut membolot dua gelaran juara iaitu Kejohanan Masters Orleans, Perancis pada April disusuli Kejohanan Terbuka Taiwan pada Jun.
Bagaimanapun bagi jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto tidak mahu anak buahnya terbuai dengan pencalonan itu memandangkan mereka masih lagi mempunyai misi penting iaitu cuba untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.
“Untuk pencalonan sebagai beregu paling menunjukkan peningkatan tahun ini, bagi saya itu adalah sesuatu yang bagus. Ia mampu untuk meningkatkan lagi keyakinan mereka untuk aksi lebih sengit pada tahun hadapan.
“Tetapi sebenarnya kami tidak fikir banyak mengenainya kerana yang paling utama adalah menampilkan aksi yang terbaik di setiap kejohanan bagi mengumpul lebih banyak mata ranking untuk ke Sukan Olimpik Paris tahun hadapan,” jelas Nova ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Seorang lagi wakil negara yang turut dicalonkan untuk anugerah ini adalah juara Sukan Paralimpik 2020, Cheah Liek Hou bagi dua kategori iaitu Pemain Lelaki Terbaik Para dan Beregu Para Terbaik bersama Muhammad Fareez Anuar.
Mengulas mengenai peluang Tang Jie-Ee Wei dalam penampilan sulung mereka di Kejohanan Akhir Jelajah Dunia, Nova mengakui banyak kerja rumah yang perlu dilakukan sekiranya mereka berhasrat untuk mara jauh.
Ini kerana lapan pemainberegu terbaik dalam ranking Akhir Jelajah Dunia sahaja yang layak untuk beraksi di kejohanan itu. – UTUSAN










