PETALING JAYA: Kerja- kerja pembersihan masih dijalankan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kilometer 15.4 Lebuhraya Lingkaran Luar Kajang (SILK@E18).
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, setakat sebelah pagi ini, lorong kiri yang terkena sebahagian daripada runtuhan yang jatuh ke atas lebuh raya masih ditutup buat sementara waktu.
Katanya, lorong di bahagian tengah dan kanan (lorong laju) tetap dibuka bagi laluan kepada pengguna jalan raya.
Difahamkan kejadian tanah runtuh itu yang berlaku petang semalam dari arah Selatan iaitu dari Sungai Long ke Semenyih adalah disebabkan kegagalan cerun ekoran hujan lebat.
Sehubungan itu, pengguna diminta untuk berhati-hati ketika memandu dan mematuhi papan tanda amaran serta arah petugas ketika melalui laluan berkenaan.
Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui laman sosial LLM. – UTUSAN