Kerani lebur RM277,587 tertipu penipuan kerja sambilan 'online'

Kerani lebur RM277,587 tertipu penipuan kerja sambilan ‘online’

RAIZ MUKHLIZ AZMAN AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang kerani wanita ‘terduduk’ apabila kerugian RM277,587.45 akibat terpedaya dengan penipuan kerja sambilan secara atas talian di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, polis menerima satu laporan berhubung satu kes penipuan kerja sambilan secara atas talian berkenaan semalam.

“Mangsa seorang wanita berusia 42 tahun yang bekerja sebagai kerani telah membuat carian kerja sambilan di platform Google.

“Kemudian, mangsa telah menekan satu link dan berhubung dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada sebuah syarikat yang kononnya bernama ‘HR HotelRunner’.

“Selepas memberikan butiran peribadi, mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dinamakan ‘Bookassist Marketing GRP’.

“Mangsa seterusnya berhubung dengan seorang lagi individu yang mengarahkannya untuk membuat beberapa tugasan tempahan bilik hotel secara atas talian dengan membuat bayaran terlebih dahulu di mana mangsa dijanjikan pulangan komisen antara 10% hingga 35% bagi setiap transaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Raiz Mukhliz, mangsa pada mulanya menerima pulangan komisen setelah membuat transaksi yang pertama, lalu meneruskan tugasan seterusnya.

Ujar beliau, dalam tempoh singkat, mangsa telah melakukan sebanyak 44 transaksi ke 13 akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan bayaran mencecah RM277,445.65 di mana ke semua bayaran ini didakwa sebagai bayaran untuk melengkapkan tugasan.

“Mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu apabila diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi pengeluaran pulangan yang dijanjikan.

“Mangsa tidak membuat bayaran lanjut dan tampil membuat laporan polis. Difahamkan, wang yang digunakan mangsa adalah daripada simpanannya sendiri.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan atas kesalahan menipu, dimana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN