Tak adil tahan peruntukan Ahli Parlimen PN - Bersih - Utusan Malaysia

Tak adil tahan peruntukan Ahli Parlimen PN – Bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan tindakan Kerajaan Perpaduan menahan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) adalah sesuatu yang tidak adil.

Jawatankuasa Pemandunya dalam satu kenyataan berkata, Bersih melahirkan rasa dukacita terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga kini masih belum memberikan peruntukan CDF kepada ahli-ahli Parlimen terutamanya pembangkang.

Disebabkan itu katanya, beberapa ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Ahli Parlimen Labuan, Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Jeli mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas alasan keperluan mendapatkan peruntukan di kawasan mereka.

“Bersih juga tidak setuju peruntukan CDF untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang diikatkan dengan syarat-syarat tertentu kerana peruntukan ini patut diberi sebagai hak ahli Parlimen tanpa mengira parti.

“Mereka juga dipilih oleh rakyat dan Kerajaan Madani harus menghormati pilihan pengundi kawasan pembangkang dan tidak menggunakan peruntukan sebagai tawar-menawar untuk tarik sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang,” kata kenyataan itu semalam.

Jelas kenyataan itu, semua Ahli Parlimen PN yang menyatakan pendirian untuk menyokong Kerajaan Persekutuan menunjukkan realiti malang politik di Malaysia hari ini.

Katanya, mereka yang sehaluan dengan kerajaan mendapat wang awam dan yang sebaliknya akan dihukum dengan ditahan peruntukan tersebut.

“Amalan tidak adil ini yang bermula di zaman Barisan Nasional (BN) dan disambung di zaman PN telah selama ini dibantah dan dijanji penghapusannya oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

Justeru Bersih mengulangi seruan agar Kerajaan Madani dan PN menjalinkan perjanjian persefahaman (MOU) untuk reformasi institusi yang menjanjikan kestabilan politik dan gelanggang permainan yang rata untuk semua pihak.

Katanya, ia sebagaimana yang berlaku antara Kerajaan Keluarga Malaysia dan PH pada 13 September 2021.

“Ini akan membolehkan kedua-dua kerajaan dan pembangkang bekerjasama dan bersaing secara profesional dalam mengatasi cabaran ekonomi dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

“MOU boleh merangkumi pelbagai item reformasi, selain pengkanunan CDF setara untuk semua ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), juga pendanaan awam untuk semua parti mengikut peratusan undi, pengiktirafan kabinet bayangan, pendalaman (deepening) reformasi Parlimen, Akta Parlimen Berpenggal Tetap, serta pemisahan Badan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara.

“Jika kedua-dua Kerajaan Madani dan PN keberatan untuk mengambil langkah pertama untuk menggerak perundingan MOU, kedua-dua pihak boleh meminta bantuan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang bertanggungjawab mengkotakan kebanyakan reformasi institusi dalam MOU 2021-2022, dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebagai orang tengah jujur ( honest broker) untuk membawa pendamaian demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN