PUTRAJAYA: Sutera Spa, salah satu usahawan berjaya yang dilahirkan di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bakal melebarkan cawangannya ke Melaka dan Pahang tahun depan.
Ketika ini, jenama spa tempatan itu beroperasi di tiga cawangan masing-masing di Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun sejak tahun 2016.
Pengarah Urusan Sutera Consultancy & Services Sdn Bhd, Zuhrah Nadakkavil Alassan berkata, beliau berbangga apabila Sutera Spa akhirnya dapat melebarkan sayapnya ke negeri lain selepas bertapak di Terengganu sejak lapan tahun lalu.
Beliau yang juga pengasas Sutera Spa berkata, uniknya Sutera Spa adalah antara jenama yang menyediakan perkhidmatan ‘spa harian’ menyeluruh dengan produk yang dibangunkan sendiri,” katanya ketika ditemui pada Karnival Usahawan Desa KUD @Putrajaya di Anjung Floria, di sini, semalam.
Katanya, Sutera Spa menyediakan khidmat spa menyeluruh termasuk rawatan muka, urutan, body spa, fir sauna, jakuzzi bath dan jualan produk spa seperti minyak badan, minyak patu aromaterapi dan pencuci muka.
Zuhrah berkata, lebih unik, Sutera Spa kini mendapat sambutan daripada pelancong asing yang berkunjung ke Terengganu.
Sepanjang penganjuran KUD@Putrajaya kali ini, Zuhrah berkata, Sutera Spa menawarkan promosi urutan kaki dan bahu pada harga RM1 selama satu minit urutan bermula hari ini hingga 26 November ini.
Katanya, khidmat urutan itu akan dikendalikan oleh lima orang usahawan bimbingan Sutera Spa bermula jam 10 pagi setiap hari.
“Promosi ini ditawarkan khusus kepada pengunjung yang hadir ke KUD@Putrajaya,” katanya.-UTUSAN










