Sudah-sudahlah toksik - Utusan Malaysia

Sudah-sudahlah toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASANYA sudah berbuih juga orang bercakap tentang isu perbalahan ‘terpaling’ peminat antara Aina Abdul dan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ada sahaja kontroversi yang sengaja dicetuskan.

Minggu lalu isu siapa sepatutnya bergelar penyanyi nombor satu. Kononnya Siti Nurhaliza sudah tidak relevan, maka gelaran itu seharusnya diberikan kepada penyanyi yang lebih muda, yakni Aina.

Tidak cukup itu, minggu ini perbalahan maya antara kononnya peminat dua artis ini sekali lagi tercetus apabila ada pula segelintir pihak yang cakap, lagu-lagu Aina lebih popular berbanding lagu biduanita kita.

Macam inilah, pergilah ceruk mana pun di Malaysia ini (kita bercakap lokal dahulu), Siti Nurhaliza adalah suri hati kita semua. Tak perlu bersusah payah memadam sejarah yang tercipta. Dia memang legend!

Rakan-rakan artis gred A pun mengakui, walau tidak pernah dia minta, Siti Nurhaliza adalah penyanyi nombor satu. Noktah. Deretan trofi, album dan lagu malar segar, come on, dia Siti Nurhaliza tau.

Namun dalam pada masa yang sama, Poklip serta ramai peminat muzik tanah air tidak pernah walau sekali menafikan bakat dan kemampuan Aina. Dia seorang bintang yang ketika ini bersinar dengan jayanya.

Album pertama sudah dilancarkan, lagu-lagu kebanyakannya ciptaan sendiri. Vokal juga tidak perlu dipertikai. Lantas, apa lagi? Profesionalism golongan ‘terpaling’ peminat itu yang mencalarkan imejnya.

Tidak hanya Aina, kita ada ramai lagi penyanyi muda yang juga punya sinar sendiri. Ernie Zakri, Syamel, Haqiem Rusli, Khai Bahar dan ramai lagi yang ada kelompok peminat serta liga berbeza.

Tak perlu gaduh-gaduh hamakkan gelaran nombor satu itu. Rasanya Aina sendiri pun pening kepala dengan sikap beberapa individu yang mengaku peminat tetapi menjatuhkan kredibilti serta nama baik artis sendiri.

Siti Nurhaliza sendiri pun tidak pernah mengiya atau bermegah dengan apa juga gelaran yang diberi. Biduanita itu kekal berjiwa hamba. Tetap menjalani kehidupan dan berbakti dengan cara sendiri.

Biarlah sinaran bintang itu memeluk anda semua dengan sendirinya. Perjalanan Siti Nurhaliza yang sudah menghampiri tiga dekad dalam industri seni juga ada onak ranjau, pahit manisnya sendiri.

Janganlah hanya kerana gelaran, angka tontonan dan sokongan merebahkan menjadi punca api kebencian mula marak. Bersainglah dengan sihat. Tak seronok tau setiap minggu ada sahaja perbalahan. Chill jelah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN