KOTA KINABALU: Dua pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah atas kesalahan meminta wang rasuah bagi meringankan hukuman seorang individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
Kedua-dua pegawai penguat kuasa itu dipercayai meminta wang berjumlah RM8,000 daripada individu tersebut.
Sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an itu dipercayai ditahan kira-kira pukul 7 malam, semalam di Pejabat SPRM Sabah semasa hadir memberi keterangan.
“Kedua-dua suspek yang bertugas di sebuah daerah di Sabah itu dipercayai meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM8,000 pada 4 Oktober lalu dan sebanyak RM2,000 telah diberikan pada 17 Oktober kepada salah seorang suspek,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya, kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan kedua-dua mereka direkodkan. -UTUSAN










