PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran menyiasat hasil laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kepincangan yang berlaku di Kementerian Kesihatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman berkata, prosedur kewangan yang tidak betul merupakan sesuatu perkara yang tidak wajar dilakukan walaupun semasa pandemik.
Katanya, ini kerana apa sahaja prosedur kewangan dilakukan dengan telus bersama semak imbang dalam setiap keadaan.
“(Jadi) siasatan memang perlu dibuat. Kalau ada pembelian tanpa kontrak sepatutnya atau akhirnya barang rosak, jadi memang perlu siasatan.
“Mungkin ramai yang suka siapa yang mahu dipersalahkan, tetapi kita serahkan kepada pihak berwajib untuk tentukan..yang salah tetap perlu dihukum, cuma, kenapa perkara itu boleh berlaku.
“Jadi, siasatan patut dijalankan, tetapi tak boleh ikut kehendak ramai orang yang nak cari pesalahnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindu ngan Diri (PPE) di bawah Kementerian Kesihatan yang didedahkan PAC sebelum ini.
Laporan itu mendedahkan kepincangan selepas kerajaan kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin Covid-19 tamat tarikh luput.
Selain itu, kerajaan juga tidak boleh menuntut ganti rugi terhadap perolehan 104 daripada 136 ventilator rosak yang diterima KKM pada tahun 2020.
PAC turut mendedahkan berlaku lebihan bekalan peralatan pelindung diri (PPE) dipesan selain kira-kira 850,000 penutup but bernilai RM927,000 akan tamat tarikh luput menjelang akhir 2024.
Mengulas lanjut, Jamalludin berkata, semua pihak perlu menjadikan perkara itu sebagai satu pengajaran, justeru, perlu mempunyai satu pelan kecemasan sekiranya negara berdepan pandemik.
Katanya, negara perlu bersedia dengan semua protokol kecemasan yang bukan sahaja berkaitan dengan kawalan jangkitan, tetapi berkaitan fleksibiliti prosedur perolehan, peralatan dan pengurusan akan datang.
“Satu elemen dalam pengurusan wabak yang bagi saya kita lemah adalah fleksibiliti dalam prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik. Apabila dalam keadaan pandemik, kita tidak boleh penuhi semua SOP kewangan dalam keadaan cepat, jadi kalau patuh SOP sedia ada mungkin ambil masa lama, jadi pembelian yang mungkin langgar SOP.
“Jadi, perlu bersiap siaga dengan polisi kewangan yang lebih fleksibel yang boleh dipatuhi apabila negara berdepan dengan pandemik yang mana SOP itu memudahkan pembelian yang boleh dipantau dan dibuat dengan wajar.
“Kita ada perolehan kecemasan, tetapi tidak sesuai untuk dipatuhi semasa pandemik. Jadi, kena bersedia dengan yang lebih mudah, boleh dipantau serta mempunyai integriti,” katanya. -UTUSAN