SEKTOR perkhidmatan awam perlu berani berubah dalam era globalisasi dan pasca pandemik yang penuh ketidaktentuan.
Bergantung kepada prosedur tradisional tidak lagi mencukupi. Sebaliknya, peluang besar hadir melalui penggunaan teknologi digital, kepimpinan transformatif dan budaya organisasi inklusif.
Digitalisasi kini bukan sekadar trend tetapi keperluan strategik untuk memastikan perkhidmatan awam kekal relevan, cekap dan dipercayai rakyat.
Cabaran semasa seperti struktur organisasi kaku, latihan tidak bersasar serta kekurangan keberanian mencuba perkara baharu wajar ditukar menjadi peluang.
Sistem penilaian prestasi, misalnya, boleh diperbaharui dengan menekankan kreativiti dan inovasi, sekali gus menjadikan penjawat awam lebih berdaya saing.
Digitalisasi menjadi tonggak utama reformasi sektor awam. Penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya (BDA), automasi proses robotik (RPA) dan sistem maklumat bersepadu mampu mempercepatkan pentadbiran serta mengurangkan birokrasi.
Lebih penting, teknologi ini harus digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Contohnya, sistem berasaskan data boleh menyalurkan bantuan secara lebih tepat, menjadikan dasar kerajaan lebih adil dan responsif.
Antara cadangan strategik yang boleh dipertimbangkan termasuk memperkasa literasi digital di semua peringkat, menetapkan sistem penilaian baharu yang mengiktiraf keberanian mencuba, serta mengutamakan perkhidmatan berpusatkan rakyat melalui platform sehenti.
Selain itu, kerjasama rentas agensi perlu diperkukuh untuk mewujudkan ekosistem digital menyeluruh, manakala kepimpinan transformatif amat penting bagi menggalakkan kreativiti dan ketangkasan kerja.
Namun, transformasi hanya berjaya jika disertai perubahan budaya organisasi. Penjawat awam harus terbuka, berani belajar dan bersedia menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. Konsep pembelajaran sepanjang hayat, bersama prinsip akauntabiliti dan integriti, perlu dijadikan asas. Pada masa sama, setiap penjawat awam harus menanam rasa kepemilikan bersama sebagai agen perubahan demi perkhidmatan lebih baik.
Masa hadapan perkhidmatan awam Malaysia bergantung kepada sejauh mana digitalisasi dapat dimanfaatkan. Dengan strategi jelas, kepimpinan berwawasan dan budaya kerja inklusif, sektor ini berpotensi muncul sebagai pemacu utama pembangunan negara.
Slogan ‘Menongkah Arus Tradisi, Mencipta Masa Depan’ wajar menjadi simbol usaha kolektif membina pentadbiran moden, berdaya tahan dan mesra rakyat. – UTUSAN
AWANG AFFEROZ AWANG MARIKAN
Jawatan Perunding Latihan Kanan,
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sarawak (INSARA)










