Sorok daripada suami bila kena ditipu

Isteri orang antara 810 mangsa Love Scam rugi RM38 juta

Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Analisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, wanita berstatus isteri antara 810 mangsa yang terpedaya dengan penipuan Love Scam dengan kerugian mencecah RM38 juta sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.

Mengikut rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, seramai 810 mangsa terdiri daripada 644 wanita dan 166 lelaki menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian bagi tempoh terbabit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, seramai 307 wanita berusia antara 31 tahun hingga 50 tahun yang secara lazimnya sudah berkahwin.

Katanya, wanita-wanita berkahwin ini diperdaya melalui aplikasi Facebook, WeChat, Tinder, WhatsApp, Instagram dan lain-lain sehingga menjadi mangsa kepada penipuan Love Scam.

“Malah, kita tidak menolak kemungkinan terdapat isteri-isteri yang membelakangi suami dan melayan cinta alam maya menerusi media sosial.

“Ada situasi yang mana wanita berstatus isteri orang ini ketika membuat laporan polis meminta pihak kami supaya merahsiakan kes mereka daripada pengetahuan pasangan walaupun ada antara duit digunakan untuk ‘kekasih’ mereka milik suami masing-masing.

“Ini menyebabkan polis mempunyai dua kerja, satu kerja menyiasat kes penipuan Love Scam mereka dan satu lagi adalah memastikan kes itu tidak diketahui oleh suami mereka,” katanya semalam.

Menurut Ramli, walaupun mangsa daripada golongan lelaki hanya 20 peratus daripada jumlah keseluruhannya, beliau percaya ramai lagi mangsa lelaki tidak membuat laporan.

“Kita percaya mungkin mereka malu untuk melaporkan kepada polis setelah diperdaya sindiket penipuan cinta ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada golongan wanita terutama berstatus isteri untuk menghentikan perbuatan itu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sehingga mengalami kerugian wang oleh individu yang kononnya menyayangi mereka secara maya.

Kata beliau, polis tidak dapat menghalang wanita berstatus isteri dan suri rumah menjadi mangsa penipuan Love Scam namun meminta mereka lebih berhati-hati ketika melayan sebarang permintaan daripada kenalan yang meragukan dalam media sosial.

“Jadilah seorang pengguna laman sosial yang bijak dan tidak mudah terperdaya dengan pelbagai helah dan taktik penipuan yang menggunakan kasih sayang, cinta dan belas ihsan.

“Wanita-wanita yang berstatus isteri ini juga disarankan mencari penyelesaian terbaik dalam apa juga masalah yang dihadapi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN