Siti Nordiana dakwa ada artis jauhkan diri selepas Live 5 sekawan

Siti Nordiana dakwa ada artis jauhkan diri selepas Live 5 sekawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Penyanyi, Siti Nordiana Alias mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ada artis menjauhkan diri selepas kejadian Live Instagram lima sekawan, dua tahun lalu.

Bagaimanapun ketika ditanya, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili tiga defendan berhubung identiti artis tersebut, dia tidak boleh mendedahkan nama mereka.

Dalam prosiding sambung bicara hari ini, Siti Nordiana, 39, atau lebih dikenali sebagai Nana turut enggan memyebut walaupun hanya satu nama artis.

Semasa prosiding hari ini, Siti Nordiana masih memberi keterangan dan menjawab soalan secara bertaip disebabkan masih ‘hilang suara’.

Azlan: Nana semalam kamu ada cakap reputasi rosak..kamu ada pergi live show (persembahan secara siaran langsung) dikecam oleh peminat dan ada artis jauhkan diri…siapa artis jauhkan diri?

Siti Nordiana: Saya tidak boleh dedahkan nama.

Azlan: Altleast (sekurang-kurangnya) namakan tiga artis yang jauhkan diri daripada kamu.

Siti Nordiana: Saya tidak ingat.

Azlan: Even (walaupun) tiga pun tidak boleh namakan?

Siti Nordiana: Saksi mengangguk. (Ya).

Azlan: Jadi sebenarnya saya cadangkan tiada artis pun jauhkan diri daripada kamu.

Siti Nordiana:  Tidak setuju.

Siti Nordiana menjawab pemeriksaan balas tersebut dalam perbicaraan kes saman yang dikemukakannya terhadap kelima-lima individu atas dakwaan memfitnah.

Lima defendan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Semalam Siti Nordiana memberitahu mahkamah, beliau dipandang hina masyarakat yang percaya fitnah selain dikecam peminat manakala rakan-rakan artis menjauh diri daripadanya.

Siti Nordiana juga memberitahu, Live Instagram itu memberi kesan terhadap reputasi dan kerjayanya.

Menerusi jawapannya kepada soalan Azlan, Siti Nordiana tetap dengan tegas mengatakan bahawa Live Instagram oleh lima sekawan itu ditujukan kepadanya walaupun namanya tidak disebut sebagai individu dimaksudkan.

Prosiding di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd. Johan itu bersambung lagi 5 Disember ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing telah didakwa menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN