Sirul perlu kemuka rayuan bagi membolehkan diekstradisi - KPN

Sirul perlu kemuka rayuan bagi membolehkan diekstradisi – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada sebarang permohonan semakan dikemukakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar terhadap hukuman mati yang dikenakan ke atas beliau berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sekiranya Sirul berhasrat untuk pulang ke Malaysia, dia atau peguam boleh membuat permohonan agar hukuman mati berkenaan dipinda kepada hukuman lain seperti hukuman pemenjaraan.

Ia selari dengan Akta semakan hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023 [Akta 847] yang memberi tempoh selama 90 hari untuk mana-mana pesalah hukuman mati membuat semakan bermula dari 12 September lalu.

“Sekiranya ini berlaku, barulah Malaysia boleh mengemukakan permohonan ekstradisi untuk beliau menjalani hukuman di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Razarudin, Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dan Mutual Legal Assistance (MLA) dengan banyak negara termasuk Australia menerusi Mutual Assistance In Criminal Matters Act (MACMA 2002).

Kata beliau, Sirul tidak dapat diekstradisi ke negara ini kerana Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati ke atas pesalah jenayah di negara mereka.

“Salah satu syarat perjanjian extradisi boleh dilaksanakan adalah kesalahan tersebut mestilah mempunyai Dual Criminality.

“Prinsip Dual Criminality juga terpakai dalam MLA. Ini bermaksud satu kesalahan mestilah menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang juga membawa hukuman yang sama,” jelasnya.

Dalam pada itu, ujar beliau, perkembangan undang-undang terbaru di Malaysia hanya menghapuskan hukuman mati mandatori.

Ini bermakna hukuman mati masih wujud di Malaysia tetapi tidak lagi menjadi mandatori sebaliknya mengikut budi bicara Mahkamah.

“Ekoran perkembangan undang-undang tersebut, mana-mana pesalah jenayah yang telah dijatuhi hukuman mati dan masih menunggu proses pelaksanaan hukuman tersebut boleh diberi peluang untuk membuat permohonan kepada mahkamah untuk meminda serta merayu kepada hukuman mati tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya