Sentuhan kreatif seni semburan cat - Utusan Malaysia

Sentuhan kreatif seni semburan cat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG lelaki sedang fokus menyiapkan sebuah lukisan sambil berulang-kali menggoncang botol semburan cat sehingga menangkap perhatian ramai.  

Berkulit sawo matang, ternyata jejaka ini begitu mahir mengenakan pelbagai warna daripada setiap botol cat untuk disembur di atas hamparan sebuah kertas lukisan licin bersaiz A4. 

Tidak sampai 10 minit, sebuah lukisan pemandangan di sebuah air terjun berlatarbelakangkan bulan sedang mengambang siap dipamerkan kepada khalayak. 

Mendapat hasil yang menakjubkan dengan sentuhan tangan ternyata menuntut proses pembelajaran dan pengalaman yang panjang, kongsi pemilik nama lengkap Mohd. Shofi Asrozi, 36. 

Pejam celik, sudah 15 tahun beliau berkecimpung dalam seni semburan cat (spray paint art) dan menjadi punca rezekinya menjalani kehidupan harian. 

Pengalaman berguru di jalanan, kongsinya, banyak mendewasakan dirinya dan mengenali lebih ramai pelanggan baharu.  

“Saya bermula sebagai artis seni jalanan di depan kompleks beli-belah Sogo bersama rakan-rakan lain. Ikutkan, saya adalah batch pertama yang terlibat dalam aktiviti seni jalanan, termasuk ada yang buat persembahan muzik dan menyanyi (busking).  

“Sekitar tahun 2010, artis jalanan tidak terlalu ramai berbanding sekarang. Apatah lagi, ketika itu platform media sosial belum meledak,” katanya ketika ditemui semasa Horizon Food & Art Fair di Avenue K, baru-baru ini. 

DICABAR RAKAN    

Berkongsi detik menceburkan diri dalam kesenian itu, pemuda berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang ini berkata, segala-galanya tercetus ketika beliau sedang asyik bermain online game di kafe siber. 

Kebetulan, rakannya sedang melayari YouTube dan terlihat aktiviti seni semburan cat di luar negara. Tertarik melihat video tersebut, beliau terdetik untuk mengikut jejak langkah tersebut selepas dicabar rakannya.  

“Saya memang jenis yang suka mencuba. Lokasi di Sogo pula memang kawasan tumpuan ramai. 

“Asalnya saya main sembur sahaja botol cat atas kertas. Masa mula-mula buat memang hasilnya cacamarba. Namun, saya tak kisah sebab niat sambil buat sambil belajar. 

“Walaupun tak cantik, orang ramai tetap datang berkerumun sebab mereka suka melihat benda baharu. Sejak itu, saya bertekad ingin asah bakat dan perbaiki kelemahan,” kongsinya.  

Disoal perasaan kali pertama dikerumuni ramai orang ketika itu, katanya, beliau tidak berasa terlalu gementar atau gugup untuk mempersembahkan hasil seninya. 

Sebaliknya, setiap dorongan serta kata-kata semangat yang diterima mengajar dirinya untuk menjadi lebih kuat, berani dan berdikari. 

Lebih manis, sepanjang sedekad menjadi artis jalanan, banyak syarikat korporat yang mengundang dirinya mengadakan persembahan seni dan demo semburan cat berkenaan.   

“Ikutkan masa itu baru habis belajar di universiti. Kos pengajian pula adalah pengurusan perniagaan. Jauh sangat dengan apa yang saya belajar.   

“Namun, saya yakin boleh cari makan dengan karya seni ini. Saya memilih duduk di tepi jalan sebab mahu menimba pengalaman. Dari lokasi seperti inilah saya banyak dapat tawaran kerja seni,” katanya yang turut menggunakan elemen api sebagai gimik karya seninya. 

DIPERLEKEH, DIPANDANG RENDAH  

 

Hidup tidak selalunya indah dan langit tidak selalunya cerah. Di sebalik kemanisan, sudah pasti terselit peristiwa pahit bergelar artis jalanan. 

Sudah tentu katanya, beliau berdepan cabaran cuaca tidak menentu kerana memilih untuk melakukan seni semburan cat di tempat terbuka selain sikap pandang rendah orang ramai yang lalu-lalang. 

“Kalau hujan terpaksa berlari dan angkut semua barang. Kalau jatuh sakit, projek sudah tergendala dan pendapatan juga terhenti seketika. 

“Ada juga penerimaan negatif masyarakat yang memandang rendah terhadap hasil usaha saya. Banyak kali diperlekeh siap cakap depan-depan, sampai ada baling duit ke arah saya. Lebih-lebih lagi kalau berjumpa pelancong Arab, memang tiada adab,” luahnya.   

Di sebalik cemuhan itu, beliau ternyata bangkit dengan keazaman dan kegigihan untuk meneruskan minat dalam bakat seni ini. 

Katanya, ada sebuah pengalaman ‘mahal’ yang membuatkan dirinya tetap fokus dan sesekali tidak menoleh ke belakang. Sekalipun, ibu dan bapa sendiri pada mulanya ragu-ragu ia boleh menjadi sumber pendapatan. 

“Ada seorang pengunjung, dia datang mendekati tetapi bukan tujuan membeli. Sebaliknya, dia bagi duit sebagai tanda sokongan. Masa itu masih bergelar pelajar, dapat RM250 sudah seronok. Saya tak letak sebarang tabung pun, sekaligus membuktikan seni ini masih dihargai. 

“Kawan-kawan lain yang sepenuh masa dalam bidang ini membuktikan mereka mampu cari makan, walaupun tanpa slip gaji. Bakat tempatan juga sebenarnya sama hebat dengan artis seni di luar negara,” katanya. 

Karier Mohd. Shofi sebagai artis seni semburan cat bertahan selama lapan tahun di Sogo, sebelum berpindah lokasi ke Bukit Bintang selama empat tahun. 

Namun, tiada siapa mampu melawan aturan Tuhan. Serangan pandemik Covid-19, tiga tahun lalu, turut menjejaskan kariernya disebabkan halangan tidak boleh lagi beraksi di jalanan.

Namun rezeki tidak salah alamat apabila pemilik jenama penyembur cat terkenal, Anchor Spray Paint menawarkan dirinya bekerja sebagai artis sepenuh masa di syarikat berkenaan sejak tiga tahun lalu. 

Barangkali kemanisan itulah habuan buat seorang insan yang mengabdikan diri dalam dunia seni yang dicintainya. 

GENERASI 90-AN SEMBUR CAT  

Generasi lahir tahun 90-an, pasti pernah memegang sekurang-kurangnya sebotol semburan cat. 

Sama ada digunakan bagi menyembur cat pada bahagian basikal, motosikal, atau menyembur pelbagai barangan lain. 

Budaya itu bagaimanapun makin lama makin hilang dek peredaran zaman. 

Jenama tempatan bertapak di Muar, Johor Bahru, sejak 40 tahun lalu, Anchor, antara yang terkesan dengan perubahan berkenaan. 

Eksekutif Kanan Pemasaran Anchor Spray Paint, Muhammad Akmal Zainal berkata, syarikat kini menyusun strategi dengan mengubah konsep dan hala tuju produk ke arah seni semburan cat yang mula diperkenalkan awal tahun ini. 

“Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), budaya menyembur cat ini kembali meletup sebab ramai tak tahu nak buat apa di rumah. Botol cat Anchor ini pula memang mudah dicari sebab banyak dijual di kedai hardware. 

“Budaya itu bagaimanapun tidak bertahan lama kerana sedar kami bukan menjual barangan keperluan asas. 

“Sejak itu, kami mula fokus mengajar orang ramai untuk menggunakan penyembur cat dengan mudah,” katanya mengenai Anchor Spray Paint yang berada di pasaran sejak 1982. 

Muhammad Akmal berkata, beliau bersama rakan sekerja lain aktif turun padang menyertai pelbagai karnival komuniti di Lembah Klang termasuk membuat sesi perkongsian di universiti. 

Jelasnya, beliau mahu orang ramai sentiasa mengingati seni semburan cat ini menerusi hasil kerja yang cantik dan berkualiti. 

“Kami dapati ramai kanak-kanak suka seni ini selain ia juga boleh dijadikan sebagai aktiviti masa lapang bersama ibu dan bapa. Bagi golongan bapa, ia seperti mengimbau kenangan mereka semasa zaman kecil. 

“Alhamdulillah, banyak permintaan kami terima daripada ibu bapa yang mahu anak mereka meneruskan pembelajaran seni ini,” katanya yang turut merancang membuka studio seni semburan cat supaya ibu bapa dapat menghantar anak mereka semasa cuti sekolah. 

Biarpun berlaku perubahan selera pengguna, permintaan produk untuk kerja-kerja menyembur cat pada bahagian aksesori kereta masih lagi diterima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya