SHAH ALAM: Selangor memperuntukkan dalam perbekalannya bagi 2024 sebanyak RM2.53 bilion meningkat 3.2 peratus berbanding belanjawan tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diperuntukan bagi perbelanjaan mengurus termasuk bayaran emolumen kepada kakitangan awam berjumlah RM480 juta, sementara pembangunan pula sebanyak RM1.2 bilion.
Bagaimanapun, peratusan perbelanjaan bagi peruntukan tersebut dilihat menurun kepada 68 peratus daripada jumlah Kumpulan Wang Disatukan berbanding 79 peratus pada tahun lalu apabila wang terkumpulnya meningkat daripada RM3.714 bilion berbanding RM3.082 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2024 berkata, menerusi jumlah perbekalan tersebut kerajaan negeri mengunjurkan kutipan hasil sebanyak RM2.2 bilion pada tahun hadapan.’
“Angka ini diunjurkan berdasarkan kepada track record di mana sebelum ini hasil berjumlah RM2 billion berjaya dikutip pada bulan Ogos 2022 dan September 2023. Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2024 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM 890.94 juta bersamaan 40.5 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.
“Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM622.65 juta bersamaan 28.3 peratus. Manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM212.96 juta bersamaan 9.7 peratus daripada pendapatan tahun 2024,” katanya, hari ini.
Jelasnya, walaupun unjuran kutipan hasil berbanding perbelanjaan dalam Belanjawan 2024 akan mengalami defisit sebanyak RM330 juta, namun ia lebih rendah berbanding 2023 iaitu pengurangan sebanyak RM120 juta.
“Walaupun melaksanakan belanjawan defisit sejak enam belanjawan sebelum ini, kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik tanpa menjejaskan output dan impak perbelanjaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, dalam Belanjawan 2024 bertemakan ‘Selangor Mandiri : Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan’, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu menggariskan empat teras utama.
Teras tersebut adalah pemangkin pelaburan berkualiti menjana pendapatan tinggi, mengangkat pendidikan bestari menjamin alam sekitar lestari, menaungi kebajikan rakyat dan mengangkat kesatuan ummah.
Daripada keempat-empat teras tersebut, antara pembangunan melibatkan industri dron, kecerdasan pembuatan, pengangkutan awam dan peningkatan kualiti jaringan jalan raya.
“Kini, bidang perkakasan harus diteroka supaya Selangor tidak menjadi sekadar bit-part-player tetapi main player dalam industri pembinaan dron melalui kerjasama syarikat antarabangsa Turkish Aerospace (TUSAS) dengan anak syarikat iaitu Selangor Aviation & Technology Innovation Sdn Bhd (Selati), RM2 juta akan diperuntukkan.
“Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM3 juta untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan yang akan mengambil kira aspek perkhidmatan, landasan, jenis lokomotif, ketersambungan kepada jajaran sedia ada serta sistem sokongan bagi memastikan penggunaan stesen adalah optimum yang tidak memakan kos yang tinggi.
“Kerajaan negeri berazam merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan jaringan jalan raya yang lebih meluas, kerajaan negeri meluluskan sejumlah RM 145 juta bagi pelaksanaan projek-projek jalan raya pada tahun 2024,” katanya. – UTUSAN










