NEW YORK: Penyanyi kegilaan ramai, Jungkook tampil membuat permohonan maaf kerana gagal memberikan yang terbaik sempena persembahannya pada rancangan Today Show, dekat sini baru-baru ini.
Anggota BTS itu, menerusi satu kenyataan di media sosial berjanji tidak mengulangi kesilapan sama dan membuat terbaik pada persembahannya di masa depan.
“ARMY, saya minta maaf kerana rosakkan persembahan live. Tiada alasan yang boleh saya berikan.
“Saya akan buat yang lebih baik pada persembahan akan datang,” tulisnya.
Jungkook pada acara tersebut mempersembahkan tiga lagu termasuk 3D, Seven dan single terbarunya, Standing Next To You.
Penyanyi berusia 26 tahun itu kecewa dengan sistem bunyi ketika persembahan itu dilakukan.
Peminat bagaimanapun menyangkal, malah memuji Jungkook atas persembahan bertenaga dan memberangsangkan.
Dalam perkembangan lain, penyanyi kelahiran Busan, Korea Selatan itu bakal membuat persembahan sempena acara Audacy Live pada 13 November ini.