KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu memutuskan mempertaruh tokoh luar dari bidang politik selepas Raja Mohamed Affandi menyatakan kesediaannya atas tawaran yang diberikan kepadanya.
“Beliau berhasrat membalas kembali jasa UMNO setelah keberadaannya dalam kerjaya beliau atas jasa UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman tersebut di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini semalam.
Meyakini sokongan rakyat berpihak dalam pilihan raya kecil kali ini, Ahmad Zahid berkata, Kemaman bukanlah kubu kuat Pas, namun kemenangan yang diperoleh parti itu sebelum ini adalah bersandarkan fitnah dan tohmahan sehingga menyebabkan BN tewas.
“Kita sudah lihat latar belakang di Kemaman dalam PRU-15, biarpun BN tidak cukup 27,000 undi untuk menduduki kerusi Parlimen Kemaman, kita rasakan Kemaman bukan kubu kuat Pas. Tetapi disebabkan terjahan isu fitnah dan simbahan kebencian terhadap UMNO dan BN, serta menggunakan sumber kewangan luar biasa pada ketika itu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau yakin jentera dan pengundi akan menerima Raja Mohamed Affandi yang dikategorikan sebagai calon langsung parti itu.
“Ini bukan kali pertama kita letak calon langsung. Sebelum ini kita letakan Datuk Ramli Mohd Nor di Parlimen Cameron Highlands.
“Saya yakin kerana beliau dibesarkan di Kemaman, keluarga beliau berada di sana, tiba waktu yang sesuai untuk UMNO meletakkan kepercayaan kepada beliau.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi menyifatkan tawaran tersebut adalah atas dasar kepercayaan yang tinggi sekali gus beliau membayar balik jasa yang telah diterima.
“Kalau sesuatu yang datang secara tiba-tiba, biasanya ia datang dari hati kita. Saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan kerana telah memilih saya, diterjunkan saya ke Kemaman dan saya sahut seruan itu.
“Saya telah berkhidmat 43 tahun. Atas apa yang saya lalui ini, saya fikir panjang sebab apabila diberikan tawaran ini, saya fikir sudah sampai masa untuk saya berikan kembali pada negara selepas 40 tahun berkhidmat. Nilai kepercayaan yang tinggi itu saya akan bayar balik,” ujarnya.
Untuk rekod, Raja Mohamed Affandi, 65, dilahirkan di Besut, pernah tersenarai sebagai calon di Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Beliau merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 43 tahun dan keputusan menamakan dirinya sebagai calon adalah hasil persetujuan daripada Ketua-Ketua UMNO bahagian, Ketua Wanita, Pemuda Dan Puteri bahagian seluruh Terengganu.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kemaman pada 2 Disember depan, hari penamaan calon pula 18 November manakala hari pengundian awal 28 November ini.
Untuk rekod, Parlimen Kemaman sebelum ini menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Sementara itu, dua calon lain iaitu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi). – UTUSAN










