Saya hampir kena serangan jantung

Saya hampir kena serangan jantung – Kim Pan Gon

KIM PAN GON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mendedahkan ketinggalan 1-3 kepada Kyrgyzstan dalam perlawanan pembuka tirai Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 026/Piala Asia 2027, semalam hampir membuatkan dirinya terkena serangan jantung.

Menurut Pan Gon, dua gol pantas Kyrgyzstan tidak dijangka kerana skuad kendaliannya bermula dengan baik, malah mendahului perlawanan seawal minit ketujuh menerusi pemain pertahanan, Dion Cools.

Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu mengakui berbangga melihat anak buahnya mempamerkan kebangkitan dengan melakar kemenangan 4-3 untuk tiga mata pertama sebelum bertandang ke Taiwan minggu depan untuk perlawanan kedua.

“Apa yang boleh kita lakukan selepas kita mendahului 1-0 tetapi selepas itu ketinggalan 1-3? Tetapi saya serahkan kepada pemain, saya katakan kepada pemain bahawa ini negara kamu, kamu bermain untuk Malaysia jadi semuanya di tangan kamu. Situasi begitu mencemaskan dan saya seperti hampir terkena serangan jantung.

“Saya hanya boleh bantu untuk memberi motivasi, mewujudkan suasana yang baik, memberi maklumat dan itu sahaja yang boleh saya lakukan daripada segi persiapan pasukan untuk perlawanan ini.

“Selebihnya, apabila di atas padang, semuanya bergantung kepada pemain. Pemain dan penyokong yang mencipta situasi (kemenangan) ini. Harapnya ia boleh berlaku lagi (kebangkitan) selepas ini.

“Tetapi ini adalah satu perlawanan yang menakjubkan dan sukar untuk menjangkakan keputusan perlawanan seperti ini, pemain berjuang habis-habisan dan mempunyai mentaliti yang tinggi untuk menang,” kata Pan Gon.

Dalam masa sama, Pan Gon mengakui kemenangan ini memberi motivasi yang baik menjelang misi untuk meraih tiga lagi mata berdepan ketika berdepan Taiwan di tempat lawan pada Selasa ini.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan dan jika kami tidak dapat menunjukkan aksi yang baik, kami tak layak untuk pergi ke pusingan seterusnya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

“Tetapi perlawanan ini sangat berbeza kerana kami beraksi di tempat lawan, jadi kami perlu melakukan persediaan yang cukup baik untuk mendapatkan tiga lagi mata,” katanya.

Ketika ini, Malaysia berada di tangga kedua Kumpulan D, berkongsi tiga mata dengan Oman yang mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Taiwan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN