Sarawak gesa Kerajaan Persekutuan beri dana menaik taraf

Sarawak gesa Kerajaan Persekutuan beri dana menaik taraf infrastruktur penanaman padi

ABANG Johari Tun Openg merakamkan gambar kenangan ketika melakukan lawatan kerjanya ke ladang padi hybrid baharu di plot perintis di Kampung Lubok Punggur, Gedong baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan penyediaan peruntukan membina dan menaik taraf infrastruktur bagi saliran dan pengairan kawasan penanaman padi di Sarawak 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak menyasarkan penghasilan 240,000 tan beras setahun dengan penggunaan benih padi hibrid dari negara Vietnam. 

“Penggunaan benih hibrid akan menggalakkan pesawah mengubah kaedah penanaman mereka, bukan sahaja ia boleh meningkatkan input pengeluaran, tetapi juga kadar produktiviti pertumbuhannya. 

“Petani tempatan juga akan dapat mengeluarkan padi dalam tiga musim setahun dengan menggunakan benih hibrid ini,” ujarnya ketika berucap dalam pembentangan Bajet Sarawak 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini hari ini.

Kata Abang Johari, penanaman padi menggunakan kaedah benih hybrid itu nanti akan ditanam di Lubok Punggor di Gedong; Tanjung Bijat di Sri Aman; Spaoh di Betong dan Tanjung Purun di Lundu.

“Pada 2022 sahaja, Sarawak mengimport sejumlah 164,621 tan metrik beras yang dianggarkan berjumlah RM362 juta. 

“Ini membuktikan Sarawak amat bergantung kepada import beras, justeru, bagi memenuhi permintaan tempatan, kerajaan Sarawak kini giat berusaha meningkatkan langkah-langkah tersebut  bagi memastikan keterjaminan keselamatan makanan,” katanya lagi. 

Sehubungan itu, bagi meningkatkan pengeluaran makanan, sejumlah RM1.15 juta akan diperuntukkan pada 2024 untuk meneruskan pemulihan dan menaik taraf saliran dan infrastruktur pengairan di Skim Pengairan Tanjung Purun, Lundu. 

“RM1.5 juta lagi diluluskan untuk Kampung Mujat, Serian manakala RM3 juta akan diperuntukkan untuk meneruskan pembangunan infrastruktur saliran dan pengairan di Lubok Punggor, Gedong. 

“Di samping itu, sejumlah RM2 juta juga akan diperuntukkan pada 2024 untuk membangunkan infrastruktur saliran dan pengairan di Selepong Panggil, Bahagian Sri Aman untuk penanaman padi,” tambahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN