KUALA LUMPUR: Seramai 257 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menderma darah pada Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, program tahunan itu dianjurkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.
Katanya, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penderma malah membantu masyarakat dan negara keseluruhannya.
“Inisiatif itu mencerminkan nilai kebersamaan, keharmonian dan perpaduan yang menjadi teras kepada kesejahteraan negara,” katanya merasmikan Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, tanggungjawab sosial itu juga selari dengan nilai kesejahteraan dan ihsan yang mendasari pembentukan masyarakat madani yang mampan.
Kata beliau, program itu diharap diperluaskan ke semua peringkat kontinjen negeri bagi menyemarakkan lagi amalan murni menderma darah.
“Amalan menderma darah wajar dijadikan contoh kerana ia bukan sahaja satu bentuk sumbangan ikhlas kepada masyarakat, malah memberi manfaat kesihatan kepada penderma.
“Saya percaya sumbangan darah pada hari ini memberi impak besar kepada negara kerana ia lahir daripada keikhlasan hati warga pasukan.
“Saya juga difahamkan ia memberi manfaat kepada tubuh badan kita dalam tempoh tiga bulan, maka ia adalah sesuatu yang baik untuk diamalkan secara berterusan,” katanya.
Pada majlis itu, tiga pegawai dan anggota serta kakitangan awam PDRM menerima sijil penghargaan khas sebagai pengiktirafan atas komitmen mereka sebagai penderma aktif.
Mereka ialah Inspektor Raja Zulkhairi Raja Omar dari PULAPOL Kuala Lumpur; Konstabel Tukiran Ramli dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dan Nuril Aisyah Abdul Aziz dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang bertugas sebagai kakitangan awam PDRM.
Sementara itu, Raja Zulkhairi, 42, berkata, beliau mula menderma darah pada 2005 ketika berusia 22 tahun dan kini konsisten menderma sebagai pendermaan darah penuh atau pendermaan aferesis (menderma plasma atau platelet) di Pusat Darah Negara.
“Saya mula menderma darah sejak menyertai kempen di sebuah pusat beli-belah pada 2005 dan sejak itu setiap tiga bulan saya tidak pernah terlepas untuk tampil menderma.
“Sekarang saya beralih kepada pendermaan aferesis setiap dua minggu di Pusat Darah Negara kerana ia lebih konsisten dan memberi lebih banyak manfaat,” katanya.
Beliau berkata, amalan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah kesihatan penderma juga lebih terjamin.
“Bagi saya, menderma darah adalah amalan ikhlas yang memberi pahala berpanjangan. Harapan saya agar lebih ramai pegawai kanan dan anggota PDRM tampil secara konsisten membantu mereka yang sangat memerlukan,” katanya. – UTUSAN










