SAP tingkat pembersihan LRA Arau - Utusan Malaysia

SAP tingkat pembersihan LRA Arau

MOHMAD ASARI DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Syarikat Air Perlis (SAP) akan melakukan pembersihan Loji Rawatan Air (LRA) Arau Fasa IV dengan lebih kerap dalam usaha mengatasi isu air keruh di beberapa kawasan di negeri ini.

Bagaimanapun dengan pe­lak­sanaan itu, SAP terpaksa mengurangkan pengeluaran se­kitar 10 peratus air dari LRA berkenaan bagi mengelak kesan kekeruhan yang tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif SAP, Dr. Mohmad Asari Daud berkata, pihaknya mengatur supaya bekalan air Loji Timah Tasoh dapat digunakan sementara bagi mengurangkan impak kepada pengguna.

“Kita akan tambah pengeluaran dari Loji Timah Tasoh untuk bantu bekalan di LRA Arau Fasa IV ekoran pengurangan pengeluaran bagi proses pembersihan,” katanya.

Terdahulu beberapa kawasan dilaporkan terjejas berikutan daripada LRA Arau Fasa IV yang terkesan dengan peningkatan kadar kekeruhan air mentah dari Terusan Arau.

Peningkatan kadar kekeruhan itu yang melebihi tahap kemampuan proses rawatan air di LRA berkenaan menyebabkan permasalahan tersebut berlaku.

Antara lokasi yang terjejas melibatkan sebahagian kawasan Kangar termasuk Behor Temak, Seriab, Behor Gonchar, Panggau, Tok Kuning, Utan Aji, Padang Behor, IPG, Jalan Raja Syed Alwi, Taman Kemajuan, Taman Hijrah dan beberapa lagi.

Dalam pada itu Mohmad berkata, isu bekalan air keruh sebelum ini juga diatasi selepas pihaknya melaksanakan penyelesaian jangka pendek berhubung isu tersebut.

“Permasalahan itu diatasi, malah, bekalan air kepada pengguna kian pulih bermula tengah hari Sabtu lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohmad berkata, untuk penyelesaian jangka masa panjang, SAP sedang giat melaksanakan proses naik taraf LRA berkenaan bagi mengelakkan permasalahan itu berulang.

Katanya, proses naik taraf loji itu juga dijangka selesai dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.

“Pada Mei tahun hadapan, LRA ini dijangka selesai naik taraf dan selepas itu, mungkin isu berkaitan air keruh ini akan selesai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohmad berkata, kadar air tidak terhasil (NRW) di Perlis juga masih berada pada tahap tinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu sekitar 61 peratus.

Tambahnya, SAP berharap pada akhir tahun hadapan, kadar NRW di negeri ini dapat diturunkan pada kadar 50 hingga 55 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN