Rumah menunggu masa roboh dibadai ombak

Rumah menunggu masa roboh dibadai ombak

ZAINAB Zakaria menunjukkan sebahagian rumahnya yang roboh selepas dipukul ombak di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, Besut, semalam. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Rumah yang dihuni sebuah keluarga di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini menunggu masa untuk roboh sekiranya dibadai ombak pada musim tengkujuh ini.

Zainab Zakaria, 46, berkata, sebahagian dinding rumah yang didiami lebih 20 tahun bersama suami, Wan Sopian Nazri Wan Ramli, 47, dan empat anak lelakinya telah retak selepas dipukul ombak pada Khamis lalu.

“Setiap kali tiba musim tengkujuh rumah kami akan dibadai ombak besar sehingga menghempas atap rumah terutama ketika angin kuat serta air pasang besar dan hujan lebat.

“Situasi itu turut menyebabkan hakisan pantai sehingga menjejaskan struktur rumah apabila pasir yang menjadi penahan kini dibawa arus laut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini.

Menurut Zainab dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi Khamis lalu, ombak besar itu telah menyebabkan bahagian bilik mandi dan tandas rumahnya roboh secara tiba-tiba.

“Awal pagi itu saya bersama suami sedang menyediakan kuih untuk dihantar ke kedai manakala anak-anak sedang tidur di ruang hadapan rumah, secara tiba-tiba kami terdengar bunyi kuat runtuhan.

“ Saya dan suami bergegas melihat apa yang berlaku dan tergamam melihat sebahagian daripada rumah kami roboh begitu sahaja,” katanya.

Jelasnya lagi, keadaan lebih membimbangkan apabila laut yang dulunya terletak kira-kira beratus meter dari rumahnya kini hanya berbaki kurang 10 meter sahaja.

Tambahnya, sebelum ini mereka sekeluarga mengambil inisiatif membina benteng menggunakan guni beras terpakai dengan isian pasir bagi melindungi kediamannya namun ia tidak bertahan lama apabila guni tersebut rosak. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN