RM9.65 bilion kos rawat tiga penyakit

RM9.65 bilion kos rawat tiga penyakit

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanja­kan RM9.65 bilion atau 16.8 peratus da­ri­pada peruntukan untuk Kementerian Ke­sihatan bagi menangani pe­nyakit ken­cing manis, darah tinggi dan kolestrol tinggi.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, anggaran itu berdasarkan perbe­lanjaan pada 2017 bagi me­rawat ketiga-tiga penyakit tidak berjangkit (NCD) itu.

Katanya, ini berdasarkan laporan pada 2022 The Direct Health-Care Cost of Non Communicable ­­Disease in Ma­lay­sia oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, sebanyak 50 peratus daripada pendu­duk Malaysia menghidap se­kurang-ku­rangnya satu NCD iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolestrol tinggi.

Katanya, ia merangkumi kos kemasukan ke hospital, penjagaan di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan, ujian kesihatan dan pembiayaan perubatan.

“NCD telah memberi impak negatif kepada ekonomi menyaksikan kos tidak langsung akibat NCD adalah sebanyak RM12.88 bilion dalam bentuk kehilangan produktiviti. Diabetes mencatatkan kehilangan produktiviti tertinggi sebanyak RM5.74 bilion dan kardiovaskular sebanyak RM5.32 bilion.

“Jumlah perbelanjaan kerajaan bagi penyakit diabetes pula sebanyak RM4.38 bilion (45.38 peratus) daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD, diikuti perbelanjaan bagi merawat penyakit kardiovaskular sebanyak RM3.93 bilion (40.73 peratus) dan RM1.34 bilion (13.89 peratus) bagi merawat penyakit kanser.

“Untuk makluman, prevalens kencing manis atau diabetes di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara menyaksikan negara mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen [PH-Bandar Kuching] meminta kerajaan menyatakan jumlah yang dibelanja untuk menangani penyakit tidak berjangkit terutama diabetes dan perancangan untuk menangani prevalens penyakit yang tinggi di Malaysia.

Mengulas lanjut, kata Zaliha, Laporan Registri Diabetik Kebangsaan 2020 mendapati, 10.6 peratus pesakit diabetes menghidap kerosakan mata, 5.86 peratus menghidap penyakit jantung dan 1.79 peratus menghidap strok.

Selain itu, katanya, sebanyak 14.38 peratus mengalami gangguan fungsi buah pinggang malah Laporan Pelan Strategi Mengurangkan Beban Penyakit Buah Pinggang Kronik mendapati 65 peratus daripada pesakit yang memerlukan rawatan dialisis adalah dalam kalangan pesakit kencing manis.

“Kencing manis menyebabkan pelbagai komplikasi kepada penghidapnya, seorang penghidap kencing manis berisiko mendapat penyakit jantung, strok, kerosakan saraf, mata dan kegagalan buah pinggang,” katanya.

Dalam itu, kata Zaliha, kerajaan mengambil beberapa langkah bagi menangani prevalens NCD yang tinggi di negara ini antaranya memperkasa implementasi pelan komprehensif dinamakan Pelan Strategik Kebangsaan Untuk Penyakit NCD 2016-2025.

“KKM melaksanakan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen), aktiviti advokasi, memperkukuh aktiviti saringan kesihatan, prmosi dan pendidikan kesihatan di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan pengenaan duti eksais terhadap minuman bergula sedia untuk diminum,” katanya.

Dr. Zaliha menambah, kerajaan akan melancarkan Pelan Advokasi Gula dalam masa terdekat sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam susulan peningkatan kes NCD terutama kencing manis di negara ini.

“Pelan ini meliputi semua peringkat umur dan kita mulakan di peringkat kanak-kanak lagi di pra sekolah, sekolah rendah serta universiti awam (UA) dan swasta.

“Turut dilibatkan ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibu bapa, ketua kampung, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pejabat Parlimen. Jadi, saya mohon semua ahli Parlimen untuk sama-sama jadikan negara kita ‘kurang manis’,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen [PH-Bandar Kuching] mengenai usahakan yang sedang dilaksanakan kementerian untuk menangani penyakit kencing manis memandangkan prevalens diabetes negara adalah yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kata Zaliha, KKM kini berada di fasa akhir sesi libat urus bersama persatuan penjaja bagi menggalakkan amalan pemakanan yang sihat secara menyeluruh.

“Contohnya, kementerian berbincang dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya untuk menyediakan pilihan minuman tanpa gula dengan slogan satu sudu teh sudah cukup, kurang lebih baik, tiada (gula) terbaik.

“Ini (inisiatif) yang sangat bagus kerana ada kedai yang kita lihat buka sampai malam, jadi bila dilaksanakan nanti, Insya-Allah ia boleh bantu dari segi advokasi bagi mengurangkan penggunaan gula dalam komuniti negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN