KUALA KRAI: Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa) memperuntukkan sumbangan kira-kira RM800,000 bagi menjalankan empat projek bekalan air bersih di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Abd Halim berkata, projek sejak tahun 2017 sehingga kini itu dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Menurutnya, ia adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban penduduk setempat dalam mendapatkan bekalan air bersih secara berterusan sepanjang tahun.
“Kita mula melaksanakan projek air bersih ini di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai pada tahun 2017, Kampung Padang Bukit, Lubuk Setol, Rantau Panjang pada tahun 2019, Kampung Sungai Sok, Kuala Krai pada tahun lalu serta di Kampung Bijih dan yang terbaharu di Kampung Jela, Kuala Krai.
“Secara puratanya, kos untuk setiap projek air bersih ini adalah sekitar RM200,000 sehingga RM250,000 bergantung kepada keadaan bekalan air di sesuatu kawasan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian & Penyerahan Program Air Bersih Etiqa di Kampung Bijih, Kuala Krai di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, biasanya masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung adalah tekanan air yang sangat rendah, masalah air keruh serta sesetengah kawasan tidak mempunyai paip saluran air.
Katanya, melalui projek air bersih ini, tandak air lama yang terletak di kawasan bukit berhampiran kampung dinaik taraf bagi tujuan mendapatkan bekalan air yang lebih banyak dan tekanan air yang lebih tinggi sebelum ia di salurkan ke rumah pam.
“Projek ini menggunakan sistem graviti bagi tujuan penyaluran air dari tandak air melalui paip poli sepanjang lebih kurang tiga kilometer (km) dari muka sauk (Intake) ke rumah pam.
“Air tersebut akan ditapis dan dirawat terlebih dahulu menggunakan Sistem Penapis Air Membran Sintetik berskala tinggi dan kemudiannya disimpan di dalam dua buah tangki simpanan berkapasiti 10,000 gelen yang disediakan,”katanya.
Zawahir berkata, air terawat kemudiannya disalurkan terus ke paip utama untuk kegunaan harian penduduk kampung.
Ujarnya, selain itu, turut dibina juga adalah pusat pengambilan air atau ‘stand-pipe’ di kawasan berhampiran bagi memudahkan penduduk mengambil air bersih untuk kegunaan harian.-UTUSAN
-habis-










