Rakyat tidak akan percaya kemimpinan kerap bertukar parti

Rakyat tidak akan percaya kepemimpinan kerap bertukar parti

HAJIJI NOOR dan SUHAIMI NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rakyat tidak akan percaya kepada kepimpinan yang kerap bertukar parti seperti bertukar baju.

Demikian kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir kepada Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor yang cuba membangkitkan semula isu cubaan rampasan kuasa yang berlaku pada awal tahun ini.

Beliau juga meminta rakyat Sabah tidak lupa siapa sebenarnya kepimpinan Gagasan Rakyat hari ini. Pemimpin Gagasan Rakyat bermula dengan UMNO dan seterusnya menyertai Bersatu sebelum bertindak menubuhkan Gagasan Rakyat apabila Bersatu tidak dapat membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, tindakan Hajiji membangkitkan isu cubaan rampasan kuasa seolah-olah seperti membuka pekung di dada sendiri.

Beliau berkata, sepanjang pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-UMNO/BN di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah itu tidak menunaikan sepenuhnya janji yang telah dibuat.

“Kami boleh huraikan satu persatu jika beliau (Hajiji) mahukan. ‘Scheme of thing Muhyiddin’ selalu menjadi ikutan Hajiji sehingga ke hari ini walaupun kononnya beliau menyokong kerajaan Perpaduan pada ketika ini.

“Kemarahan UMNO capai kemuncaknya apabila Hajiji tanpa berunding dengan Barisan Nasional (BN) Sabah telah membawa sokongan Ahli Parlimen GRS kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, UMNO tidak akan menarik sokongan daripada kerajaan sekiranya Hajiji jujur dan ikhlas dengan rakan sekutu mereka.

“Pada masa ini, banyak jawatan di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kampung turut ditukar. Mana-mana pemimpin yang mempunyai jawatan pada masa itu, akan ditamatkan perkhidmatan sekiranya tidak menyertai Gagasan Rakyat.

“Itu jelas menunjukkan beliau (Hajiji) tidak ikhlas dan mungkir janji sedangkan pada masa itu kami amat menyokong kepimpinan beliau selaku Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dalam Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat, Hajiji berkata, beliau tidak mahu cubaan rampasan kuasa yang berlaku pada awal tahun ini berulang sekali lagi bagi memberi ruang kepada kerajaan fokus untuk kemajuan dan kemakmuran negeri ini.

Beliau berkata, cubaan rampasan kuasa itu menyebabkan kerajaan negeri nyaris-nyaris lumpuh dan hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan kuasa pemerintahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya