‘Rafizi kena cermin diri sendiri’ - Pemuda Pas - Utusan Malaysia

‘Rafizi kena cermin diri sendiri’ – Pemuda Pas

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda Pas memulangkan paku buah keras kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menggambarkan parti Islam itu tidak mempunyai kekuatan organisasi dan kelebihan bakat.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, kenyataan Rafizi itu umpama takut kepada bayang-bayang sendiri apabila membangkitkan perkara berkenaan di pentas Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya.

Afnan berkata, kongres tersebut adalah merupakan pentas buat PKR memperbetulkan kelemahan parti mereka dan bukannya ruang untuk mengutuk parti lain.

“Saya cadangkan dia (Rafizi) tengok cermin dan parti dia sendiri. Pas ini lebih tua daripada PKR dan berusia menjangkau 72 tahun.

“Pas tidak pernah kata PKR parti lemah atau sebagainya sebab budaya politik kita adalah menunjukkan kelebihan tersendiri dan bukannya mengutuk musuh atau lawan.

“Politik kutuk-mengutuk ini telah lama ditolak rakyat khususnya anak muda memandangkan mereka lebih melihat kepada tawaran terbaik dan ini terbukti apabila Pas dan PN (Perikatan Nasional) menjadi pilihan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Alam Ria Pasti Malaysia 2023 di Dewan Wawasan 2020, di sini, hari ini.

Afnan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Rafizi sewaktu berucap pada Kongres AMK yang mengatakan Pas merupakan antara contoh parti tiada kekuatan organisasi dan kelebihan bakat malah hanya berpegang kepada idealisme sahaja.

Mengulas lanjut, Afnan berkata, Pas dan PN sentiasa melahirkan pemimpin pelapis dan parti itu juga tidak hanya bergantung kepada seseorang individu sahaja.

“Malah sejak dulu sampai kini, Pas terus-menerus berusaha untuk melahirkan pemimpin pelapis,” katanya.

Dalam pada itu, Afnan turut menolak kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyifatkan PN semakin terdesak apabila masih berusaha untuk menarik sokongan UMNO.

Afnan berkata, Pas berkawan dengan semua pihak, malah UMNO sendiri sebelum ini yang memilih untuk tidak bersama parti itu namun mereka tetap terbuka bagi menerima keputusan tersebut.

“Hari ini, kalau orang UMNO nak datang bersama dengan Pas pun kita terima malah kami yakin berdasarkan angka dalam PRU15 dan PRN, undi diterima oleh Pas juga datang dari ahli UMNO.

“Kita dapati orang UMNO yang undi calon kita sampai menang dan saya kira itu adalah disebabkan mereka protes dan ingin sampaikan mesej kepada pemimpin UMNO untuk berubah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya