PONTIAN: Beberapa program bagi mempromosi program inap desa Tanjung Piai terus dilakukan bagi mengatasi masalah kekurangan pengunjung ke produk pelancongan yang berusia lebih daripada 30 tahun itu.
Pengerusi Homestay Tanjung Piai Serkat, Abd Hadi Ambok Ingtang, berkata, promosi giat dilakukan bagi beberapa program seperti Program Majestic Johor, Program Festival Kota Selatan serta pemasaran melalui JOMSTAY Johor.
Katanya, Homestay Tanjung Piai mempunyai seramai 21 orang pengusaha dengan menawarkan 36 bilik penginapan ala kampung dan tiga buah rumah bagi program Kampungstay.
Menurut beliau, masalah yang dihadapi kini adalah ramai pengunjung suka membuat lawatan singkat tanpa menginap selain pengusaha inap desa yang berusia berumur di antara 60 hingga 70 tahun serta pengunjung yang lebih suka tinggal berasingan dengan pengusaha inap desa.
“Ramai yang lebih suka tinggal di bandar dengan persekitaran serta kemudahan lebih baik termasuk kemudahan internet yang laju dan pantas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri kursus Pemantapan dan Pengurusan dan Pengendalian Pelancongan untuk Pengusaha Homestay di Kampung Sri Gunong Pulai, Kulai, dekat sini.
Tambah Abd. Hadi, bagaimanapun pihaknya akan terus membantu pengusaha homestay untuk menarik kehadiran pengunjung dengan pembukaan jambatan Sungai Pulai pada tahun ini.
“Bagi pelancong dari Singapura, masa perjalanan dipendekkan dari satu jam kepada kira-kira 30 minit sahaja untuk sampai ke Tanjung Piai melalui jambatan tersebut,” ujarnya lagi.
Katanya, beberapa program kerjasama dilakukan iaitu Tourism Johor melantik pihak swasta untuk mempromosikan pelancongan di Tanjung Piai menerusi video dan gambar.
Menurut Abd. Hadi, selain itu, turut diadakan Program Semarak Johor, rakaman program dari Pejabat Menteri Besar Johor, kedatangan ejen pelancongan dari Singapura dan lawatan Pengerusi Pelancongan Sabah ke sana.
“Program ini dilakukan bagi membugarkan kembali industri pelancongan di Tanjung Piai selepas pandemik Covid-19 untuk kembali menggamit pelancong ke Tanah Penghujung Benua Asia ini,” jelasnya.
Mengenai kursus ini, dia memberitahu, program tersebut disertai oleh 26 kluster inap desa Johor anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia ( MOTAC ) Negeri Johor.
Katanya, dia akan menggunakan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini untuk dikongsi bersama dengan para pengusaha inap desa bagi menambah baik dan menyusun kembali aktiviti yang ada. -UTUSAN