PRK: Awan tekad bantu BN rampas Parlimen Kemaman

PRK: Awan tekad bantu BN rampas Parlimen Kemaman

AIMAN Athirah Sabu (duduk, dua dari kiri) bersama AWAN Kelantan pada Majlis Perasmian Konvensyen AWAN Kelantan di Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) sedia akan mengerah segala kudrat bagi membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN) bekas Panglima ATM Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman 2 Disember ini.

Ketuanya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya akan mengerahkan pasukan kempen terutama dari Kelantan, Terengganu dan Pahang yang lebih memahami isu dan propaganda yang bakal dimainkan Perikatan Nasional (PN) nanti.

Menurutnya, AWAN yakin PN terutama Pas akan menjadi PRK Parlimen Kemaman sebagai lubuk untuk memainkan isu Petisyen Cabaran Terhadap 20 Peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 oleh peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

“Pastinya AWAN Kelantan perlu memainkan peranan penting kerana mereka lebih memahami kes Nik Elin yang berpusat di Kelantan. Jadi, mereka perlu turun memberi penerangan kepada pengundi-pengundi di Parlimen Kemaman.

“Kita tidak mahu kes tersebut menjadi senjata tajam buat Pas untuk memenangi PRK kali ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen AWAN Negeri Kelantan di Kampung Tapang, di sini hari ini.

Aiman Athirah memberitahu, bagaimanapun beliau perlu duduk berbincang dengan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebelum merancang lebih lanjut peranan AWAN pada PRK Parlimen Kemaman nanti.

Katanya, AWAN akan bertindak sebagai pembantu dalam gerak kerja PRK tersebut kerana kerusi berkenaan akan ditandingi calon BN dari UMNO.

“UMNO dan BN akan mengetuai gerak kerja kempen di situ dan kami akan bertindak sebagai pembantu. Kita sedang tunggu perbincangan lanjut dengan Wanita UMNO sama ada di peringkat nasional atau negeri.

“Kami percaya akan ada strategi lebih khusus disediakan oleh UMNO sepertimana di PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram baru-baru ini. Selepas itu baru kita tampung dengan cadangan-cadangan kita,” ujarnya.

Aiman Athirah berkata, fokus AWAN kini adalah untuk memastikan jentera di peringkat negeri dan kawasan berkenaan serta bantuan daripada negeri-negeri lain dapat diselaraskan.

“Parlimen Kemaman hampir menjadi kerusi tradisi Pas tetapi ada beberapa isu yang mungkin menjadi kelebihan Parti Amanah Negara (Amanah) dan AWAN untuk membantu UMNO serta BN di kerusi berkenaan.

“Saya yakin Amanah dan Awan boleh membantu kerana kita lebih memahami cara kerja PN terutama Pas. Ia menjadi nilai tambah kepada kita untuk menangani pengundi-pengundi Melayu yang mungkin terpengaruh dengan propaganda Pas nanti,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN