PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terhadap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris didakwa berbaur fitnah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kata beliau, siasatan itu dilakukan selepas satu laporan dibuat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 9 pagi tadi.
“Satu laporan telah dibuat oleh pegawai SPRM gred 32 hari ini menafikan penglibatan pihak luar berkaitan pertuduhan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
“Pegawai berkenaan turut mempercayai bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syed Saddiq dibuat secara telus dan tiada penglibatan atau pengaruh daripada mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata beliau, perkembangan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, SPRM mengesahkan laporan polis dibuat berhubung klip video memaparkan Razali membuat ucapan didakwa berbaur fitnah terhadap SPRM.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, klip video yang dikongsikan di TikTok itu memaparkan ucapan Razali semasa berkempen pada pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu 10 November lalu.
“Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan.
“SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










