KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 41 laporan dengan kerugian RM8.05 juta berkaitan penipuan pelaburan berasaskan transaksi jual beli saham dikenali ‘CCF Trade’ dan ‘EXGCOO 2023’ yang ditawarkan melalui media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kes tersebut dengan kerugian RM390,000 di Sarawak.
Katanya, siasatan mendapati sindiket tersebut bergiat aktif menipu mangsa di seluruh Malaysia dengan menawarkan pelaburan dengan pulangan tinggi melalui media sosial.
“Sindiket menawarkan pelaburan berasaskan transaksi jual beli saham di Malaysia serta pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan Hong Kong.
“Pelabur yang berminat diminta untuk memuat turun aplikasi bagi melihat akaun mereka menjana keuntungan, namun, ia tidak dapat dikeluarkan.
“Setakat ini, sebanyak 41 kes sedang disiasat melibatkan nilai kerugian RM8.05 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Menurut Ramli, siasatan mendapati kebanyakan mangsa berusia antara 29 hingga 79 tahun yang terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan.
“Bagaimanapun, majoritinya adalah pesara serta ahli perniagaan.
“PDRM menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa skim penipuan ini untuk segera tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam kes berasingan, menurut Ramli, seramai empat lelaki lagi berusia antara 37 hingga 63 tahun yang disyaki berperanan sebagai pengarah syarikat dan mencari akaun keldai terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan Yomaex.
Jelas beliau, setakat ini, seramai 45 individu ditangkap kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan itu.
“Sebanyak sembilan lagi kertas siasatan berkaitan kes Kes Penipuan Pelaburan Yomaex melibatkan nilai kerugian RM5,173,262.75.
“Jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka terhadap skim penipuan pelaburan ini adalah 85 membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM55,795,343.48,” katanya.
Tambahnya, pihaknya masih menjalankan siasatan selain mengenal pasti untuk mengambil tindakan terhadap ahli sindiket lain.
Pada 3 November lalu, Ramli dilaporkan berkata, skim itu menawarkan pelaburan berasaskan mata wang kripto dengan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat.
Beliau dilaporkan berkata, setiap pelabur yang menyertai skim itu akan diberikan akses untuk memantau urus niaga yang dilakukan melalui sistem yang dikendalikan pihak syarikat.
Setakat ini, polis mengesan sebanyak 63 akaun bank yang dipercayai didaftarkan semata-mata operasi sindiket itu, melibatkan 32 syarikat dan 19 perniagaan.-UTUSAN