Polis akan panggil Mr. H, minta Wahab tampil buat laporan

Polis akan panggil Mr. H, minta Wahab tampil buat laporan

ABDUL WAHAB ABDUL KADIR JILANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil individu dikenali Mr. H susulan pendedahan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff semalam.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu berkenaan dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mohammad Agus.

Dalam pada itu, Razarudin menggesa pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani segera tampil membantu siasatan ini.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh Abdul Wahab berkaitan ancaman keselamatan ke atas dirinya,” katanya di sini.

Razarudin memberitahu, ada beberapa individu lagi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan itu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan dibuat Mohammad Agus mengenai kebocoran laporan polis yang dibuatnya.

“Kita (polis) juga jalankan siasatan berhubung perkara itu,” ujarnya.

Semalam, Mohammad Agus memaklumkan mendedahkan maklumat individu dikenali Mr. H selepas keterangannya diambil polis semalam.

Dalam masa sama, Mohammad Agus berkata, beliau juga membuat satu lagi aduan berhubung penularan laporan polis yang  dibuatnya sebelum ini berkaitan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM. 

Ditanya mengenai bila pegawai J-KOM, Abdul Wahab akan membuat laporan polis, Mohammad Agus menyatakan beliau tidak tahu mengenai perkara itu. 

Sebelum ini, media melaporkan Polis Selangor menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan dua individu termasuk seorang yang mirip Mohammad Agus. 

Sebelum itu, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.

 Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN