PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil individu berkaitan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan ketua pengarah sebuah agensi keselamatan yang tular dalam media sosial semalam.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, pihaknya membuka kertas siasatan susulan laporan polis diterima pihaknya.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kesalahan gangguan seksual, Seksyen 292 (kesalahan memiliki bahan lucah), Seksyen 507A (kesalahan menghendap) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Kita akan panggil individu berkaitan untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengesahkan satu kertas siasatan dibuka susulan laporan polis diterima pihaknya.
Hari ini tular laporan polis dibuat di Shah Alam, Selangor oleh seorang wanita berusia 39 tahun pada 14 November lalu dikatakan penasihat kewangan kepada lelaki bergelar Datuk dipercayai ketua pengarah sebuah agensi keselamatan yang mendakwa diganggu secara seksual.
Dalam laporan itu, kejadian didakwa berlaku mangsa mendakwa pernah bertemu dengan lelaki tersebut sekali pada November tahun lalu.
Lelaki itu didakwa turut menghantar mesej dengan mengajak keluar ke pusat karaoke dan hotel, namun tidak diendahkan mangsa.
Bagaimanapun, laporan itu mendakwa mangsa mula menerima mesej dan 10 video serta gambar berbaur lucah sejak Ogos lalu.
Justeru, mangsa membuat laporan pada 14 November lalu kerana merasakan dirinya diganggu secara seksual serta trauma selain menerima ancaman ugutan daripada lelaki berkenaan agar tidak melaporkan kepada sesiapa.
Habis