IPOH: Perdana Menteri yang kini berada di San Francisco, Amerika Syarikat, menyampaikan salam kepada semua mangsa bencana ribut yang melanda beberapa kawasan dalam Parlimen Tambun baru-baru ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menghadiri Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di negara itu, memberi bantuan termasuk sumbangan tunai kepada 164 mangsa atau wakil isi rumah yang terjejas akibat musibah tersebut.
Bantuan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dalam dua majlis berbeza kepada mangsa-mangsa di Taman Klebang Jaya dan Taman Meru 2C yang terjejas akibat ribut tersebut.
Kata Shamsul Iskandar, meskipun Anwar banyak urusan dan tugasan tetapi kawasan Tambun tidak akan terlepas daripada sebarang bentuk pertolongan.
“Saya sampaikan salam Perdana Menteri. Beliau berada di San Francisco menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan dalam APEC. Insya Allah beliau akan sampai di tanah air pada Selasa pagi,” katanya dalam majlis penyerahan sumbangan itu di sini hari ini.
Kejadian pada minggu lepas itu merosakkan banyak harta benda dan rumah. Sehingga kini ada mangsa yang masih belum pulih sepenuhnya akibat terkesan daripada bencana tersebut.
Nilai sumbangan dianggarkan lebih RM700 bagi setiap penerima mengikut jenis kerosakan yang dialami.
Antara mangsa, M. Nosli, 45 tahun gembira sumbangan yang disampaikan itu dan merasakan Perdana Menteri mengambil berat tentang nasib mereka.
“Saya rasa keprihatinan kerajaan lebih baik. Diharapkan perhatian seperti ini diteruskan. Saya dan keluarga lega menerima sumbangan ini,” katanya.
Katanya, akibat ribut, atap rumahnya rosak dan air hujan masuk ke dalam rumah menyebabkan peralatan rumah rosak. – UTUSAN