Pesuruhjaya Sukan mahu buat laporan polis

Pesuruhjaya Sukan mahu buat laporan polis

SUHARDI ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Suhardi Alias nekad untuk membuat laporan polis terhadap pihak yang sengaja membocorkan perbincangan sulit badan induk itu serta berniat untuk melaga-lagakan mereka dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau menjelaskan, intipati mesyuarat tertutup itu tidak sepatutnya disebarkan kepada umum, sehingga menimbulkan salah faham, khususnya perbualan yang berada di luar konteks.

“Saya berpendapat selepas laporan polis ini dibuat, saya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan tindakan, dan saya yakin kepada keupayaan pihak berkuasa.

“Mungkin ia bertujuan seperti itu (melagakan dengan MOM) dan saya tidak tahu siapa yang menyebarkan klip audio tersebut tetapi bagi saya ini adalah budaya tidak sihat.

“Bukannya menyebarkan maklumat secara separuh-separuh yang menimbulkan salah faham sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan MOM,” jelas Suhardi ketika ditemui media di Bukit Jalil semalam.

Sebelum ini tular rakaman audio berdurasi satu minit 20 saat yang tular di aplikasi Whatsapp yang antara petikan itu didakwa menyamakan MOM seperti Israel ketika mesyuarat tertutup bersama dua badan e-sukan, Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) 14 November lalu.

Tambah Suhardi, PJS memanggil dua persatuan e-sukan itu untuk bermesyuarat bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran dan keahlian antarabangsa memandangkan wujud pertelingkahan di antara mereka.

MESF merupakan badan yang berdaftar secara rasmi di bawah PJS, manakala MEGA pula hanya diiktiraf MOM dan belum berdaftar sebagai pertubuhan sukan.

Dalam masa yang sama, Suhardi menjelaskan PJS sememangnya mempunyai kuasa mutlak ke atas pendaftaran pertubuhan MOM, dan kenyataan tersebut bukanlah bersifat ugutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya