Perak ungguli Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali

Perak ungguli Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali

YANG Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Rustam bersama pemain Perak yang muncul juara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2023 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka, hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perak muncul juara acara regu selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2023 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Perak membawa pulang RM10,000 berserta piala pusingan manakala Negeri Sembilan selaku naib juara menerima RM5,000.

Lebih manis apabila dua pemain Perak turut menerima Anugerah Pemain Apit Kanan Terbaik menerusi Muhammad Noraizat Mohd. Nordin dan Anugerah Pemain Apit Kiri Terbaik, Aidil Aiman Azwawi.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan.

Perak yang diperkuatkan dua pemain kebangsaan, Muhammad Noraizat dan Aidil Aiman serta tekong import dari Thailand, Jakkrit Thinbangbon nyata terlalu kuat buat Negeri Sembilan.

Meskipun tewas di set pertama 24-25, Perak bangkit mengikat kedudukan untuk menang mudah ke atas gandingan tekong kebangsaan, Muhammad Haziq Hairul Nizam; Mohd. Muhammad Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zuleffendi Sumari (apit kiri) dengan kemenangan 21-7.

Pada set tie-break, kelebihan jelas memihak kepada Perak yang mengungguli aksi penentuan apabila mencatat kemenangan 21-13 untuk dinobatkan selaku juara edisi kedua.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mohd. Azafril Mohd. Anuar berkata, kemenangan tersebut amat dinanti-nantikan memandangkan pada kejohanan sama tahun lalu, pasukannya hanya muncul juara beregu.

“Secara keseluruhan pemain menunjukkan mutu permainan yang baik, berkualiti dan kami mendapat hasil yang baik dengan kemenangan dalam perlawanan akhir,” katanya.

Tambah Mohd. Azafril, pada aksi set pertama, kelekaan seketika menyebabkan pasukannya tewas 24-25 dalam pertarungan sengit.

Ujarnya, ketika set kedua para pemain mula bermain cemerlang dengan kehebatan Jakkrit Thinbangbon selaku tekong yang mengutip banyak mata untuk mengikat kedudukan 1-1.

Katanya, kemenangan itu turut menjadi petanda baik kebangkitan Perak terutama dalam menghadapi Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari pada penghujung Januari 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya