CYBERJAYA: Idea penyelesaian dua negara oleh Israel dan sekutunya adalah satu bentuk penipuan bagi menakluk keseluruhan Palestin.
Malah, ia kesinambungan daripada rancangan penjajahan British sejak tahun 1930-an.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau juga melihat idea itu sebagai memberi peluang dan ruang kepada orang Yahudi untuk terus melebarkan kuasanya di Palestin.
Justeru, katanya, adalah amat penting bagi orang Islam membuat satu pendirian dan mempertahan Palestin kerana Palestin itu sendiri adalah tanah air umat Islam.
“Bagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa orang Yahudi tidak boleh menetap di Palestin cuma ia (Palestin) adalah milik orang Islam.
“Allah SWT jadikan Palestin sebuah negara kelahiran nabi-nabi, malah bangsa Yahudi bukannya yang pertama menetap di situ sebaliknya bangsa rumpun Arab,” katanya pada siri Bicara Negarawan bertajuk ‘Masa Depan Palestin: Apa perlu dilakukan? yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, rancangan penyelesaian dua negara bersifat ‘gula-gula’ dan bukannya menyelesaikan masalah sebaliknya Palestin mesti dikembalikan kepada kuasa pemerintahan orang Islam.
Abdul Hadi berkata, apa yang berlaku ketika ini, Israel mahu Palestin menjadi milik mereka sahaja dan siri pengeboman yang berlaku juga bukan hanya menyasarkan umat Islam sebaliknya orang Kristian Palestin dan mereka turut menyerang gereja.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, beliau berpandangan negara-negara Islam ketika ini mempunyai kuasa yang amat terhad untuk menyekat kekejaman Israel terhadap Palestin.
“Kita ketika ini lemah dan tidak mampu menentang Amerika Syarikat. Jika Amerika Syarikat tidak benarkan kita hantar pasukan pengaman ke sana, kita tidak mampu buat apa-apa.
“Pada masa dahulu, kuasa dunia adalah negara Turki Uthmaniyah dan mereka berjaya mendirikan sebuah negara yang cukup kuat dan boleh hantar tentera ke mana-mana sahaja untuk melindungi orang Islam.
“Sebab itu, dahulu kita tidak pernah dengar kisah penindasan terhadap orang Islam sebabnya kita mempunyai sebuah kuasa dunia yang boleh melindungi kita.
“Malangnya hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang mampu berlagak seperti sebuah kuasa dunia. Kita semua lemah-lemah sehingga di mana-mana sahaja orang Islam ditindas, dibunuh dan didera seperti yang berlaku di China, India dan Kashmir,” katanya.
Katanya, sementara umat Islam bersedia untuk akhirat, umat Islam juga perlu bersedia untuk mempertahan umat Islam dengan kebolehan serta senjata zaman kini seperti pesawat perang, kereta kebal dan senjata terkini.
Dr. Mahathir berkata, jika mahu ajaran Islam diikuti sepenuhnya, umat Islam perlu mempunyai kebolehan untuk melindungi umat Islam yang ditindas dan beliau percaya jika ia boleh dilaksanakan, serangan Israel terhadap Palestin boleh dipatahkan. – UTUSAN










