Peniaga diingat tidak naikkan harga ayam sesuka hati - Utusan Malaysia

Peniaga diingat tidak naikkan harga ayam sesuka hati

SAHARUDDIN Mohd. Kia (dua, kanan) memantau harga ayam segar yang dijual di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Peniaga diingatkan agar tidak menaikkan harga ayam segar sesuka hati walaupun harga bahan mentah itu kini ditentukan pasaran ekoran penamatan subsidi dan harga kawalan bermula hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, peniaga tidak boleh menggunakan alasan itu untuk meraih keuntungan tidak masuk akal.

Tegas beliau, KPDN negeri telah menggerakkan 117 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga bagi memastikan tiada tindakan manipulasi harga oleh peniaga.

Menurut Saharuddin, setakat ini, pihaknya mendapati harga pasaran semasa ayam segar di sekitar daerah ini bermula serendah RM7.50 sekilogram (kg) selain bekalan yang mencukupi.

“Bagi menentukan harga itu munasabah atau sebaliknya, kita ada kaedah pengiraan berdasarkan harga jualan sebelum ini dan harga daripada pembekal, jadi peniaga tidak boleh sewenang-wenang (bermain harga).

“Pengguna juga ada banyak pilihan dengan membandingkan harga melalui aplikasi ‘Price Catcher’ dan dibantu bekalan ayam segar yang stabil di pasaran, golongan peniaga sedia maklum perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau harga serta bekalan ayam segar pada hari pertama penamatan harga kawalan dan subsidi di sebuah pasaraya di daerah ini di sini hari ini.

Saharuddin memberitahu, peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam sesuka hati boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Selain itu, tambahnya, pihaknya turut bertindak proaktif meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui 217 siri Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negeri untuk dibeli pada harga berpatutan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia pula mendapati Dalam tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Manir dekat sini pula mendapati harga ayam masih kekal tinggi dijual pada harga RM11 sekilogram.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, faktor kenaikan harga di peringkat pembekal menyebabkan harga jualan runcit lebih tinggi berbanding sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya