Pengasuh pulas paha bayi sampai patah, keluarga mahu ambil

Pengasuh pulas paha bayi sampai patah, keluarga mahu ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan mengalami patah paha kanan dipercayai dipulas pengasuh ketika dalam jagaan wanita berusia 25 tahun di Dengkil, Selangor.

Menurut bapa mangsa, Faridzuwan Kamaruddin, kejadian berlaku pada 15 November lalu apabila dia dihubungi pengasuh itu kira-kira pukul 5.45 petang yang mengatakan kaki anak perempuannya, Nur Qaseh Neliya patah ketika cuba menggeliat.

“Sejurus selepas itu, saya dan isteri menjemput Qaseh di rumah pengasuh sebelum membawanya ke sebuah hospital pakar di Bandar Baru Bangi.

“Bagaimanapun, selepas petugas perubatan melakukan X-ray, mereka memaklumkan bahawa kecederaan dialami bukan disebabkan menggeliat atau terjatuh, tetapi mungkin dipulas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menceritakan lanjut, Faridzuwan berkata, Nur Qaseh seterusnya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan doktor di situ turut mengesahkan kecederaan tersebut berpunca perbuatan sama dan dipercayai mempunyai unsur penderaan.

“Alhamdulillah, anak saya dibenarkan keluar hospital pada Jumaat lalu dan kini sedang berada di rumah. Bagaimanapun, keadaan tidak begitu aktif seperti sebelum ini ekoran kecederaan dialami.

“Atas sebab itu, saya mahu mengambil tindakan undang-undang kepada pengasuh itu kerana tiada belas kasihan selain tidak mahu perkara sama berlaku kepada bayi atau kanak-kanak lain,” jelasnya.

Faridzuwan turut berkata, insiden tersebut bukan kali pertama berlaku kepada anaknya kerana sebelum ini turut terjadi kecederaan sama apabila Nur Qaseh pernah mengalami lebam pada pipi.

Namun, alasan diberikan pengasuh itu ialah anaknya terkena gelang semasa dipangku olehnya.

Bagaimanapun, katanya, ketika dibawa untuk rawatan di klinik, doktor mengesyaki kecederaan itu seakan ditekan.

“Ketika itu, saya tidak membuat laporan polis, tetapi kali ini, saya sudah membuat laporan di Balai Polis Dengkil. Sekarang ini, cuma tunggu tindakan seterusnya daripada pihak berkuasa,” tegasnya. 

 Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan pihaknya ada menerima laporan yang dibuat keluarga mangsa pada 16 November lalu.

Katanya, keterangan suspek sudah diambil dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya