KUALA LUMPUR: Pendirian tegas Malaysia mengutuk serangan rejim zionis Israel ke atas di Palestin tidak menjejaskan ekonomi dan pelaburan syarikat asing khususnya dari Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara-negara luar juga tidak mempunyai kapasiti untuk menentukan pendirian Malaysia walaupun wujud kebimbangan bahawa sikap tegas Malaysia di hadapan AS negara Eropah akan menjejaskan kedudukan ekonomi.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memberi tumpuan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menjalin hubungan dan mempertahan inklusiviti, kemampanan serta daya tahan di peringkat Asia Pasifik.
“Tentunya sebagai orang yang bertanggungjawab dalam negara dan pertumbuhan ekonomi, kita juga mengambil kira dan prihatin mengenai permasalahan ini.
“Namun, setakat ini saya memberi jaminan bahawa kerajaan bertemu beberapa pelabur utama dan keutamaan masih diberi berdasarkan kestabilan politik dan dasar ekonomi bebas serta kaedah mempercepat proses kelulusan (pelaburan) yang dikendali oleh MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau terdahulu menjawab soalan Aminolhuda Hassan [PH-Sri Gading] mengenai hasil mesyuarat dan jumlah pelaburan ke dalam negara sepanjang lawatan ke Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di AS, baru-baru ini.
Anwar berkata, Malaysia memanfaatkan sepenuhnya setiap ruang dan peluang di persidangan itu untuk menjelaskan komitmen Malaysia ketika pertemuan dengan pelabur asing yang membawa hasil pelaburan langsung asing berjumlah RM63.02 bilion.
Katanya, selain pertemuan dua hala dengan negara lain, beliau menggunakan ruang di APEC untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa termasuk Google Inc., Microsoft Inc., TikTok dan TPG.
Katanya, pelabur utama AS termasuk Google Inc. dan Microsoft Inc. masih memberi keutamaan kepada kestabilan politik dan dasar ekonomi kerajaan yang jelas, di sebalik tekanan berterusan Malaysia dan negara Islam lain terhadap Israel. – UTUSAN










