PETALING JAYA: Pendedahan terbaharu bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dilihat sebagai tidak mempunyai merit dan tidak berasas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan Sirul yang disabitkan bersalah kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu kepada media antarabangsa Al-Jazeera, baru-baru ini, hanyalah bersifat kenyataan liar yang boleh menimbulkan lebih banyak spekulasi.
“Sirul sebelum ini sudah diberi peluang untuk membela diri selari dengan Perlembagaan dan undang-undang yang ada di negara ini.
“Namun, dakwaan beliau ini tidak pernah pula dikemukakan kepada mana-mana mahkamah yang mengadili beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sirul yang berdepan hukuman mati di sini berhubung pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, merayu untuk tinggal di Australia dan menyatakan bahawa adalah berbahaya baginya pulang ke Malaysia.
Dalam temu bual eksklusif bersama saluran berita Aljazeera English’s 101 East, dia juga memohon maaf kepada keluarga Altantuya dan meminta pengampunan mereka. -UTUSAN