Pendaftaran Program eMADANI Isnin ini, golongan layak terima RM100

Pendaftaran Program eMADANI Isnin ini, golongan layak terima RM100

anwar
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendaftaran Program eMADANI dibuka mulai Isnin ini kepada 10 juta rakyat dewasa berkelayakan daripada golongan B40 dan M40 yang bakal menerima kredit e-tunai sebanyak RM100 sekali sahaja (one-off).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi program berkenaan seperti diumumkan pada majlis peluncuran kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, program eMADANI ialah kesinambungan kepada kejayaan program eBeliaRahmah dan mempunyai objektif tiga serampang untuk memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana, menggalakkan pembayaran tanpa tunai (cashless) dan memanfaatkan rakyat.

“Menjelang hujung tahun dan musim cuti persekolahan, kerajaan berharap sumbangan eMADANI dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan rakyat di samping memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

“Pelaksanaan program eMADANI yang bermula Isnin ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan terutama langkah yang menyokong agenda pendigitalan ekonomi negara serta membantu rakyat secara langsung,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.    

Sebanyak empat penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet mengambil bahagian dalam program itu.

Selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun atau mata ganjaran (reward points) sepanjang tempoh program berkenaan. 

Kementerian Kewangan memaklumkan, syarat- syarat kelayakan bagi pendaftaran Program eMADANI mestilah merupakan warga Malaysia berusia 21 tahun ke atas pada 1 Januari 2023.

Mereka juga mestilah merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November 2023 atau mempunyai pendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat 15 Julai 2023.

“Jadi, tempoh pendaftaran dan tuntutan eMADANI bermula pukul 8 pagi pada 4 Disember 20023 sehingga 20 Februari 2024 melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna. 

“Pengunaan kredit eMADANI serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sahaja sehingga 29 Februari 2024,” katanya.

Kredit eMADANI juga boleh dimanfaatkan menerusi peruncit dan peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terlibat dalam program ini serta tertakluk kepada transaksi dibenarkan.

Pemohon program eMADANI boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) melalui pautan https://manfaat.mof.gov.my/eMADANI atau https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya