Pemuda Pas pusat didakwa sentuh kedaulatan undang-undang syariah Selangor - Utusan Malaysia

Pemuda Pas pusat didakwa sentuh kedaulatan undang-undang syariah Selangor

Undang-undang syariah
MUHAMMAD Izuan Ahmad Kasim (kanan) dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kesemua 22 cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Amanah negeri ini akan diarahkan laporan polis terhadap Pemuda PAS Malaysia apabila mengeluarkan kenyataan menjejaskan kedaulatan undang-undang syariah di Selangor.

Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, tindakan daripada Pemuda PAS Malaysia menerusi aplikasi media sosial X itu menyentuh isu berkaitan perkauman, agama dan institusi diraja (3R).

“AMK Selangor turut mempersoalkan kenyataan tersasar dan menyesatkan Pemuda PAS Malaysia, sejak bila Selangor tidak mempunyai undang-undang syariah?

“Kuasa berhubung dengan undang-undang syariah ini jatuh di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai raja pemerintah justeru PAS Malaysia harus duduk dan kaji semula Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga menggesa Pemuda PAS Malaysia supaya berhenti mempolitikkan isu ini untuk publisiti murahan dan memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor dengan kadar segera atas fitnah yang sengaja dibuat bagi merendah-rendahkan martabat institusi beraja Selangor yang bertanggungjawab menjaga perihal undang-undang syariah di negeri ini.

“22 cabang AMK dan Pemuda Amanah Selangor juga akan diarahkan untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Jelasnya, ciapan Pemuda PAS Malaysia itu jelas memainkan sentimen bahawa kononnya undang-undang jenayah syariah di Malaysia bakal lenyap.

“Malah, Pemuda PAS Malaysia juga memberikan bayangan kononnya undang-undang syariah sudah dicabar secara terancang oleh musuh Islam dan berjaya dilakukan di Selangor. Ini adalah amat mengejutkan!

“AMK Selangor ingin menegaskan dan memberi peringatan kepada Pemuda PAS Malaysia bahawa kes tersebut masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan. Justeru, hentikan kenyataan seperti ini kerana ia boleh diklasifikasikan sebagai subjudis,” ujarnya.

Kata Muhammad Izuan lagi, Pemuda PAS Malaysia juga harus berhenti mengeluarkan kenyataan yang jelas bakal mengeruhkan lagi keadaan.

“AMK Selangor mengambil pendirian tindakan Pemuda PAS Malaysia yang memperbesarkan isu tersebut dengan cara menyemarakkan sentimen agama dan memfitnah negeri ini jelas bertujuan mendapatkan pengaruh dan populariti murahan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya