Pemilik syarikat didenda RM14,000 kemuka dokumen palsu - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat didenda RM14,000 kemuka dokumen palsu

BURHANUDDIN Helmi Che Awang (tengah) yang mengaku salah mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya dibawa keluar dari Mahkamah Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik syarikat didenda RM14,000 atas dua tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya berjumlah RM85,500, dua tahun lalu.

Hakim Mohd. Azhar Othman membacakan keputusan itu selepas Burhanuddin Helmi Che Awang, 29, mengaku bersalah sebaik pertuduhan pilihan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim kemudian turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja berjumlah RM40,600 dan RM44,900.

Dokumen itu mengandungi butir matan palsu iaitu senarai nama pekerja syarikat komputer milik tertuduh sedangkan kesemua penama bukan kakitangannya bagi bermaksud mengelirukan prinsipalnya.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Terengganu di daerah ini pada 18 dan 19 Jun 2021.

Burhanuddin Helmi melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan denda minimum dengan alasan perlu menyara isteri dan empat orang anak termasuk dua berstatus kelainan upaya (OKU).

Hakim Mohd. Azhar dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti fakta kes dan rayuan daripada tertuduh, hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran agar masyarakat tidak melakukan kesalahan ini.

“Mahkamah berpendapat ini adalah kesalahan serius di mana wang kerajaan tidak dapat dikembalikan dan telah menyebabkan negara mengalami kerugian,” ujarnya.

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 dan dua bulan penjara jika gagal bayar bagi tuduhan pertama dan RM8,000 dan tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi tuduhan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan Tengku Nurul Haziqah Tengku Yacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya