LANGKAWI: Pelancong dari Jepun yang tiba dengan menaiki kapal persiaran mewah di sini berasa teruja dapat melawat pulau peranginan ini walaupun dalam tempoh yang singkat.
Kapal persiaran Pacific World yang dianggarkan membawa 2,000 orang penumpang berlabuh pada pukul 8 pagi tadi di Langkawi Cruise Terminal (LTC) di Tanjung Malai dan dijangka belayar semula pada pukul 10 malam nanti.
Seorang pelancong, Tomoya Ichikawa berkata, ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki di sini.
“Sebaik turun daripada kapal, saya dapat lihat pemandangan laut dan deretan bot yang sangat cantik.
“Sekiranya hari ini berjalan lancar, saya akan kembali semula ke Langkawi untuk melawat tempat-tempat yang tidak sempat dilawati hari ini,” katanya.
Seorang lagi pelancong, Sachiko Kanaya memberitahu, dia akan melawat Oriental Village untuk menaiki kereta kabel.
“Saya difahamkan tarikan tersebut adalah tarikan nombor satu di Langkawi, jadi, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk melawat dan melihat pemandangan dari atas kereta kabel.
“Saya juga merancang hendak melawat air terjun Telaga Tujuh yang berdekatan dan melihat sendiri keunikan kawasan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Hiromu Nagaya yang bersama isterinya berkata, dia ingin meneroka sendiri Langkawi bagi melihat keunikan yang ada di sini.
“Kami dapat banyak maklumat mengenai kawasan yang perlu dilawati seperti kereta kabel dan Menara Maha, jadi, kami bercadang untuk bergerak sendiri dengan menggunakan teksi.
“Kami juga berasa persinggahan kali ini tidak akan menghampakan kerana pemandangan yang sangat cantik dapat dilihat apabila turun dari kapal dan pastinya seluruh Langkawi adalah sama,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan pada awal November lalu, 32 buah kapal persiaran akan berlabuh di sini dan membawa 50,000 orang pelancong ke Langkawi sehingga Mei tahun hadapan.-UTUSAN