Pelajar tahfiz mandi-manda bersama tiga rakan ditemukan lemas  - Utusan Malaysia

Pelajar tahfiz mandi-manda bersama tiga rakan ditemukan lemas 

AHMAD MUJAHID AL-FARUQI HAIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar tahfiz tingkatan tiga ditemukan mati lemas ketika mandi-manda bersama tiga rakan yang lain di Sungai Terengganu, semalam.

Mayat Ahmad Mujahid Al-Faruqi Haimi, 15, dijumpai tersangkut di pukat pada kedalaman lima meter di Kampung Banggol Cempedak di sini pada pukul 9.10 malam.

Tiga lagi rakannya terselamat namun seorang berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Menurut Imam Masjid Pengadang Baru, Muhammad Awang, 27, dia dan seorang lagi rakan segera terjun ke dalam sungai sebaik menyedari kejadian menimpa empat remaja itu.

Katanya, mereka berjaya menyelamatkan dua orang mangsa manakala seorang lagi diselamatkan lelaki lain lalu ketiga-tiga mangsa dibawa ke tebing sungai.

“Ketiga-tiga mereka sudah berada di dalam air ketika itu tetapi kami berjaya selamatkan dan sama-sama angkat di bawa naik ke darat.

“Bagaimanapun seorang lagi terlalu jauh dan dihanyutkan arus deras, kami hanya nampak mangsa tenggelam timbul,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.03 petang.

Menurut beliau, seramai 13 pegawai dan anggota dikerah ke lokasi termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA) yang melakukan lima kali selaman bagi mencari Ahmad Mujahid.

“Kami berdepan kesukaran kerana arus deras dan berlumpur sebelum mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira pukul 9.10 malam tersangkut pada pukat,” katanya.

Difahamkan, kesemua mangsa terlibat dengan persembahaan qasidah pada Festival Warisan Air di Dataran Banggol Cempedak sebelum mandi di sungai tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya