SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes cubaan samun pemandu e-hailing di tepi jalan di Taman Keladi, di sini pada pukul 6.20 petang, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun turut diacukan pisau ke dada kirinya ketika suspek cuba merampas wang daripada poket pemandu e-hailing itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa pada mulanya menerima pesanan penumpang melalui aplikasi syarikat e-hailing untuk mengambilnya di Lorong Taman Keladi 12 untuk dihantar ke Lorong Astana 9/7 Bandar Sri Astana.
Katanya, semasa dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, suspek meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 daripada mangsa bagi membayar sewa rumah.

“Mangsa beritahu sekiranya tidak mempunyai wang, dia terpaksa menurunkan remaja terbabit di lokasi tersebut, namun suspek enggan dan minta mangsa bawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar perkhidmatan penghantaran.
“Selepas itu, suspek minta untuk membawanya semula ke Taman Keladi dan mangsa menerima bayaran sebanyak RM18. Remaja itu kemudian melengahkan mangsa dengan memandu arahnya ke beberapa lorong kecil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, rakaman kejadian terbabit daripada perakam video kereta mangsa yang berdurasi satu minit 32 saat tular di media sosial.
Menurut Zaidy, pemandu terbabit akhirnya terpaksa menurunkan penumpangnya dan meminta bayaran tambahan sebanyak RM9 dan ketika mahu memulangkan baki wang tambang RM20 yang diberikan suspek, dia diacu sebilah pisau.
“Suspek mahu merampas wang daripada poket mangsa, namun warga emas itu sempat merampas pisau serta menggigit tangannya untuk mempertahankan diri sebelum suspek kemudian melarikan diri,” katanya.
Tambah beliau, polis berjaya menahan remaja terbabit kira-kira pukul 10 malam tadi selepas menerima laporan daripada mangsa dan kini direman selama satu hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Katanya, sebilah pisau berhulu hitam sepanjang 25 sentimeter (cm) turut dirampas setelah senjata itu ditinggalkan di dalam kereta mangsa.
“Siasatan awal mendapati remaja terbabit merupakan anak sulung daripada empat beradik dan bukan berasal daripada keluarga yang mengalami masalah. Punca dia bertindak demikian kerana berasa marah dengan mangsa yang dikatakan memakinya dan cuba mengambil semula wang bayaran tambang,” katanya. –UTUSAN