Pekerja maut kebocoran gas amonia

Pekerja maut kebocoran gas amonia

ANGGOTA Bomba membawa keluar mangsa yang terlibat dalam kebocoran gas amonia di Sandakan hari ini-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Seorang pekerja kilang maut dalam kejadian kebocoran gas amonia di sebuah kilang pemprosesan ais, di Batu 3, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun bersama tujuh pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sebelum berlakunya kebocoran gas tersebut.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian berlaku seorang mekanik dibantu oleh tujuh orang pekerja lain sedang membuat penyelanggaraan mesin pemotong ais.

Namun, semasa menjalankan kerja-kerja penyelengaraan, sebatang paip sistem penyejukan telah bocor dan menyebabkan gas amonia dalam keseluruhan tiub sistem penyejukan menyembur keluar.

“Akibat insiden itu, seorang pekerja lelaki tempatan berusia 40 tahun yang berada berhampiran paip yang bocor telah terkena gas amonia dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) dan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fuad berkata, seramai 18 orang pekerja berusia antara 21 hingga 55 tahun sedang bekerja di kilang berkenaan semasa kejadian berlaku dan 17 orang pekerja kini sedang menerima rawatan di HDOK.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan siasatan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN